UNHCR digesa percepat penempatan semula Rohingya - Belia 4B Kedah

LocalPolitics
10 Jun 2026 • 3:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UNHCR digesa percepat penempatan semula Rohingya - Belia 4B Kedah
Muhammad Najib Taib

ALOR SETAR – Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Kedah menggesa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mempercepatkan proses penempatan semula pelarian Rohingya ke negara ketiga bagi mengurangkan beban yang ditanggung masyarakat tempatan.

Pengerusinya, Muhammad Najib Taib berkata, langkah itu perlu diberi perhatian segera memandangkan Kedah sebagai negeri sempadan antara yang paling terkesan dengan kehadiran pelarian Rohingya dari aspek sosial dan ekonomi.

Menurut beliau, walaupun pihaknya tidak menafikan dasar kemanusiaan yang diamalkan negara, keselamatan rakyat, kedaulatan undang-undang dan peluang ekonomi golongan muda tempatan tidak boleh diketepikan.

“UNHCR perlu mempercepatkan urusan penempatan semula pelarian ini ke negara ketiga dan tidak membiarkan beban tersebut terus ditanggung oleh komuniti setempat.

“Kita tidak menafikan dasar kemanusiaan, namun keselamatan rakyat Kedah, kedaulatan undang-undang dan peluang ekonomi anak muda tempatan tidak boleh dikompromi sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kedudukan geografi Kedah sebagai negeri sempadan dan pintu masuk utara negara menyebabkan negeri itu menjadi antara lokasi yang menerima kesan langsung daripada isu kebanjiran warga asing berkenaan.

Sehubungan itu, Gerakan Belia 4B Kedah turut mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak berkuasa bagi menangani isu tersebut secara menyeluruh.

Antaranya ialah memperketatkan kawalan di sempadan darat serta perairan Langkawi dan Kuala Kedah bagi mengekang kemasukan pelarian baharu.

Selain itu, pertubuhan berkenaan turut mendesak pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan terhadap premis perniagaan yang didakwa diusahakan secara tidak sah oleh pelarian Rohingya bagi melindungi kepentingan ekonomi usahawan tempatan.

Muhammad Najib turut meminta pihak polis meningkatkan rondaan di kawasan yang mempunyai penempatan padat warga asing bagi menangani sebarang isu keselamatan dan gangguan terhadap masyarakat setempat.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan jumlah etnik Rohingya di Malaysia yang berdaftar dengan UNHCR meningkat kepada kira-kira 126,144 orang setakat Februari 2026 berbanding sekitar 10,000 orang kira-kira tiga dekad lalu.