UNHCR henti daftar pelarian di Malaysia, kerajaan kini ambil alih tanggungjawab

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 1:17 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan semua aktiviti pendaftaran dan dokumentasi pelarian serta pemohon suaka di Malaysia berkuat kuasa Rabu.

Jabatan Imigresen ambil alih

Langkah itu dibuat susulan keputusan kerajaan Malaysia mengambil alih tanggungjawab pendaftaran komuniti berkenaan secara berperingkat menerusi Jabatan Imigresen.

Menerusi kenyataan yang diterbitkan di laman sesawang rasminya, UNHCR memaklumkan pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai pelan peralihan yang dicadangkan.

Image from: UNHCR henti daftar pelarian di Malaysia, kerajaan kini ambil alih tanggungjawab

Foto: Berita Harian

UNHCR Malaysia tidak ditutup

Menurut agensi itu, perbincangan tersebut bertujuan memastikan perlindungan terhadap pelarian dan pemohon suaka di negara ini dapat diteruskan sepanjang proses pengambilalihan.

“UNHCR akan terus memberikan nasihat teknikal, perkongsian kapasiti dan kerjasama kepada kerajaan sepanjang proses peralihan itu.
“Walaupun aktiviti pendaftaran dan dokumentasi dihentikan, operasi UNHCR di Malaysia tidak ditutup.
“Kami bersama rakan kerjasama akan terus menjalankan aktiviti lain termasuk penempatan semula dan memberikan sokongan kepada pelarian serta pemohon suaka yang mempunyai keperluan perlindungan mendesak,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, UNHCR menjelaskan penghentian aktiviti pendaftaran dan dokumentasi tidak bermakna keseluruhan operasinya di Malaysia akan ditamatkan.

Sebaliknya, agensi berkenaan akan terus bekerjasama dengan rakan pelaksana bagi menjalankan aktiviti berkaitan perlindungan, termasuk urusan penempatan semula dan bantuan kepada individu yang memerlukan perhatian segera.

Image from: UNHCR henti daftar pelarian di Malaysia, kerajaan kini ambil alih tanggungjawab

Foto: Malay Mail

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedang mengambil alih peranan pendaftaran dan pengurusan data pelarian daripada UNHCR.

Menurut beliau, pengambilalihan itu dilaksanakan menerusi sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang dikendalikan Jabatan Imigresen.

Pelaksanaan sistem berkenaan bertujuan membolehkan kerajaan mempunyai rekod data pelarian yang lebih sahih dan menyeluruh tanpa perlu bergantung kepada entiti luar.

Peralihan tanggungjawab tersebut sekali gus menyaksikan kerajaan Malaysia mengambil peranan utama dalam urusan pendaftaran pelarian, manakala UNHCR kekal menjalankan fungsi sokongan dan perlindungan lain di negara ini.

Sumber: UNHCR Malaysia

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved