Unihub & DMW 1 Motorsport Team Pertaruh Loke Yin Yi Dalam TGR Malaysia Vios Challenge 2026

20 Jul 2026 • 10:32 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: Unihub & DMW 1 Motorsport Team Pertaruh Loke Yin Yi Dalam TGR Malaysia Vios Challenge 2026

SEPANG, 20 Julai 2026 – Unihub Auto Sdn. Bhd. bersama DMW 1 Automobile mencipta sejarah apabila menjadi pengedar pertama UMW Toyota Motor yang merekrut pemandu pembangunan dari luar ekosistem Toyota GAZOO Racing Malaysia bagi menyertai Toyota GAZOO Racing (TGR) Malaysia Vios Challenge.

Menerusi kerjasama strategik bersama Kegani Racing Academy (KRA), pasukan Unihub & DMW 1 Motorsport Team mempertaruhkan pelumba wanita berbakat, Loke Yin Yi, untuk bersaing dalam kategori Sporting Class pada Pusingan Ketiga TGR Malaysia Vios Challenge yang berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada 25 hingga 26 Julai ini.

Loke bukanlah nama asing dalam arena perlumbaan tempatan. Beliau merupakan juara keseluruhan dua kali berturut-turut KRA SKILLDRVN One Make Race (OMR) Series bagi musim 2024 dan 2025. Prestasinya musim ini turut menyerlah apabila mendahului kedudukan keseluruhan SKILLDRVN Swift Professional Series hasil dua kemenangan berturut-turut selain pernah menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam Kejuaraan Kyojo Vita di Jepun sebagai satu-satunya pelumba luar negara yang bertanding.

Sebelum menyertai Vios Challenge, Loke turut mempamerkan prestasi cemerlang dalam Vios Classic Challenge apabila berjaya menaiki podium sebanyak empat kali termasuk satu kemenangan bersama mentor KRA, Kenny Lee.

Menurut Penolong Pengurus Besar Unihub Auto Sdn. Bhd., Brandon Lee, kerjasama bersama KRA bukan sahaja membuka peluang kepada bakat baharu untuk melangkah ke pentas perlumbaan yang lebih tinggi, malah menyokong usaha berterusan UMW Toyota Motor dalam membangunkan sukan permotoran negara melalui TGR Malaysia Vios Challenge.

Beliau berkata inisiatif itu diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada pelumba berbakat dari program pembangunan akar umbi untuk membina kerjaya dalam perlumbaan profesional.

Sementara itu, Pengetua dan Ketua Jurulatih Kegani Racing Academy, Kenny Lee menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai satu pencapaian penting dalam usaha akademi melahirkan lebih ramai pelumba kompetitif yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

Beliau berharap peluang yang diberikan kepada Loke menjadi permulaan kepada lebih banyak kerjasama antara akademi pembangunan bakat dengan pasukan-pasukan pengedar Toyota pada masa hadapan.

Sejak ditubuhkan, Kegani Racing Academy memberi tumpuan kepada pembangunan pelumba bermula seawal usia 14 tahun melalui latihan teori, simulator, latihan di litar serta siri perlumbaan SKILLDRVN yang diwujudkan sebagai platform perlumbaan akar umbi sebelum berkembang kepada SKILLDRVN Swift Professional Series.

The post Unihub & DMW 1 Motorsport Team Pertaruh Loke Yin Yi Dalam TGR Malaysia Vios Challenge 2026 appeared first on TW Media.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved