NEGERI Sembilan unik kerana mengamalkan sistem Adat Perpatih yang berasal daripada masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat dan berkembang di Negeri Sembilan sejak ratusan tahun dahulu.
Adat ini bukan sekadar adat resam biasa, tetapi satu sistem sosial, politik dan kekeluargaan yang mengatur kehidupan masyarakat
Tetapi sejak akhir-akhir ini pening kepala Merak Jalanan hendak memikirkan krisis yang berlaku di Negeri Sembilan.
Setiap orang memberikan pendapat, versi dan interpretasi masing-masing, lebih-lebih lagi kalau individu terbabit menyokong kumpulan tertentu.
Krisis yang berlaku itu bukanlah perkara baru tetapi sudah lama berakar.
Paling unik sekarang Luak Sungei Ujong sudah ada tiga Undang iaitu seorang akauntan berusia 29 tahun, Muhammad Faris Johari dilantik sebagai Dato' Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-11 baru-baru ini.
Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Datuk Mubarak Dohak yang dilucutkan Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu bersama Anak-Anak Waris.
Bagaimana Mubarak menolak perlucutan itu kerana mendakwa pihak yang membuat keputusan sebenarnya telah pun lebih awal dilucutkan jawatan menyebabkan ia tidak sah.
Terkini, Datuk Abdul Rahman Limat pula telah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Sungei Ujong dalam satu majlis di Seremban pada Ahad.
Jadi ini semua merumitkan lagi keadaan ibarat kata pepatah Melayu, kusut yang tak dapat diselesaikan, keruh yang tak dapat dijernihkan.
Kesimpulannya biarlah orang-orang di Negeri Sembilan sajalah yang ambil tahu masalah di negeri mereka sementara orang lain sekadar penonton di tepi padang sahaja.






