Salah seorang mangsa kemelut politik di Negeri Sembilan ini berkemungkinan ialah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid selama ini memimpin Umno tanpa cabaran, bukan kerana beliau popular, tetapi kerana cabaran yang kuat terhadap kepimpinannya sukar untuk disusun dan digerakkan.
Sebagai seorang ahli politik yang sangat berpengalaman, Zahid dilihat mampu menghidu sebarang usaha untuk menjatuhkannya, lalu mematahkan gerakan itu sebelum ia sempat berputik.
Setakat ini, strategi itu terbukti berkesan. Kejayaan Zahid menghancurkan penentangan terhadap kepimpinannya sebelum ia sempat digerakkan begitu ketara kerana sehingga hari in, tiada satu pun bahagian atau cawangan Umno yang bangkit menentang kepimpinannya—bukan kerana mereka menyokong atau yakin dengan kepimpinannya, tetapi kerana mereka tidak sanggup menanggung risiko menentangnya.
Jika pemimpin popular seperti Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein pun boleh dipecat atau digantung hanya kerana mencabar Zahid, apakah yang boleh diharapkan daripada ketua bahagian atau cawangan?
Namun, krisis Negeri Sembilan kini mula memperlihatkan tanda-tanda bahawa Zahid semakin lemah dan terancam. Ini kerana beliau gagal memaksa 14 ADUN Negeri Sembilan untuk akur kepada kehendakkanya, dan pada masa yang sama gagal menghukum mereka kerana ingkar.
Beberapa hari lalu, Zahid mengumumkan bahawa selepas bertemu dengan 14 ADUN tersebut, mereka bersetuju untuk terus menyokong kerajaan negeri pimpinan PH, seperti yang beliau kehendaki.
Namun, hanya sehari dua selepas itu, ketua tidak rasmi kumpulan 14 ADUN tersebut, Jalaluddin Alias, menyatakan bahawa mereka tidak akan menyokong kerajaan PH. Mereka tidak akan menjatuhkan kerajaan seperti yang dirancang sebelum ini, tetapi mereka akan tetap akan tidak meyokong pemerintahan kerajaan PH di Negeri Sembilan, dengan sedia bertindak keluar daripada kerajaan negeri dan berperanan sebagai pembangkang.
Hakikat bahawa 14 ADUN itu masih enggan menyokong kerajaan PH walaupun Zahid secara terbuka mahukannya—dan Zahid pula tidak mampu mengambil tindakan terhadap mereka—menjadikan beliau kelihatan lemah.
Bagi mengurangkan persepsi yang dia sudah lemah, hari ini satu “sumber” Umno yang tidak dinamakan memaklumkan kepada MalaysiaKini bahawa sebenarnya 12 daripada 14 ADUN tersebut bersetuju dengan kehendak Zahid dan mahu kekal dalam kerajaan negeri.
Namun begitu, laporan MalaysiaKini turut menyatakan bahawa, bertentangan dengan dakwaan Zahid sebelum ini, beliau sebenarnya hanya bertemu dengan 12 dan bukannya14 ADUN yang terbabit.
Jalaluddin Alias serta Mohamad Hasan—timbalan presiden Umno dan individu yang dituduh oleh Pemuda DAP sebagai “musuh dalam selimut” dalam krisis ini—tidak hadir dalam pertemuan tersebut.
Pada pandangan saya, Zahid kini sedar bahawa persepsi beliau tidak mampu mengawal atau menghukum ADUN-ADUN Negeri Sembilan ini sedang menghantar satu isyarat berbahaya, yang berpotensi membuat ramai ahli Umno percaya bahawa dia sudah lemah dan boleh dicabar.
Bagi mengekang persepsi itu, Zahid sekarang cuba menghantar isyarat balas yang membawa mesej bahawa sebenarnya hanya dua daripada 14 ADUN yang menentangnya—manakala 12 yang lain masih mematuhi kehendaknya.
Mesej ini bertujuan untuk menunjukkan yang Zahid masih kuat dan berkuasa di dalam Umno.
Adakah beliau berjaya membentuk persepsi tersebut?
Buat masa ini, saya berpendapat bahawa antara isyarat yang dihantar oleh Zahid dan Jalaluddin Alias, isyarat Jalaluddin lebih kuat dan meyakinkan.
Mengapa?
Kerana Jalaluddin menyampaikan mesejnya secara terbuka dalam sidang media, dengan ADUN-ADUN yang diwakilinya berdiri bersama beliau.
Sebaliknya, isyarat Zahid kelihatan lemah kerana ia disampaikan melalui “sumber” yang tidak berani menamakan dirinya, dan bukan daripada mana-mana 12 ADUN tersebut sendiri.
Lebih memburukkan keadaan, mesej yang disampaikan oleh “sumber” itu turut bercanggah dengan kenyataan awal Zahid. Sebelum ini Zahid mendakwa beliau bertemu kesemua 14 ADUN, tetapi kini jelas beliau hanya bertemu 12—dan dua ADUN yang tidak ditemuinya pula ialah ADUN yang paling penting: yakni Mohamad Hasan dan Jalaluddin Alias.
Lebih penting lagi, tiada seorang pun daripada 12 ADUN tersebut tampil mengesahkan kenyataan Zahid atau “sumber” berkenaan.
Malah, tiada juga antara mereka yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri PH seperti yang didakwa Zahid.
Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa daripada menunjukkan bahawa Zahid masih menguasai dan mengawal penuh Umno, isyarat lemah yang dihantar oleh Zahid menunjukkan bahawa Zahid sendiri sudah kini sedar bahawa kedudukannya adalah rapuh dan terancam.
Walaupun dia cuba untuk melawan balik, namu beliau masih gagal mempertahankan dirinya dengan berkesan, kerana isyarat balas yang dihantarnya hanya menyerlahkan kelemahannya—bukan mengukuhkan imej bahawa beliau masih kebal.
Zahid sekarang ini perlu melakukan sesuatu dengan lebih berkesan, dan dia perlu melakukannya dalam masa yang terdekat.
Jika tidak—jika beliau gagal menghantar isyarat yang benar-benar meyakinkan bahawa beliau masih mengawal sepenuhnya Umno dan sesiapa yang menentangnya akan menerima padahnya —satu gerakan untuk menjatuhkannya hampir pasti akan muncul dari dalam Umno sendiri.
TheRealNehruism (nehru.sathiamoorthy@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.






