UniMAP perkukuh jaringan strategik, jalin kolaborasi bersama industri

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UniMAP perkukuh jaringan strategik, jalin kolaborasi bersama industri

GEORGE TOWN: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berhasrat untuk terus memperkukuh jaringan strategiknya menerusi pendekatan kolaborasi secara lebih menyeluruh bersama pihak industri.

Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, dalam hal ini, tumpuan akan diberikan terhadap aspek pembangunan bakat, penyelidikan, inovasi serta penyelesaian terhadap keperluan sebenar industri ketika ini.

Beliau berkata, pada masa yang sama, hubungan antara universiti dan industri juga perlu dibangunkan sebagai perkongsian strategik yang mampu menghasilkan nilai bersama kepada mahasiswa, industri dan negara sekali gus melangkaui aspek pengambilan graduan semata-mata.

“Matlamat kami (UniMAP) bukan sekadar menambah jumlah rakan industri, tetapi membina perkongsian yang lebih mendalam dalam pembangunan bakat, penyelidikan, inovasi dan penyelesaian terhadap cabaran sebenar industri kerana pelajar yang kita bangunkan bersama hari ini berpotensi menjadi jurutera, pakar teknologi serta pemimpin pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berucap sempena UniMAP Industry Eminence Awards 2026 yang berlangsung di sini, malam semalam.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro-Canselor universiti itu.

Ketika ini, UniMAP mempunyai lebih 300 rakan industri strategik, namun, tumpuan utama universiti itu bukan sekadar menambah jumlah rakan kerjasama, sebaliknya, memperkukuh kedalaman dan impak setiap perkongsian yang diwujudkan.

Sementara itu, Zaliman berkata, UniMAP Industry Eminence Awards 2026 diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada 31 rakan industri strategik yang telah memberi sumbangan signifikan dalam memperkukuh aspek pengajaran dan pembelajaran, pembangunan mahasiswa, penyelidikan serta inovasi universiti.

Beliau berkata, majlis berkenaan turut menjadi platform penghargaan kepada rakan industri yang terus mempercayai keupayaan UniMAP sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) berteraskan teknologi dan kejuruteraan serta komited dalam membangunkan bakat masa hadapan.

Dalam perkembangan berkaitan, Zaliman berkata, bagi memastikan graduan bersedia menghadapi perubahan landskap pekerjaan, UniMAP turut menggalakkan penglibatan industri secara lebih awal dalam proses pembangunan bakat seperti Industry Advisory Panels.

Katanya, selain itu, projek tahun akhir, program bimbingan, pensijilan profesional, latihan khusus serta pendedahan kepada teknologi dan persekitaran kerja sebenar juga memainkan peranan penting bagi memastikan kurikulum akademik sentiasa relevan dan responsif terhadap perkembangan teknologi serta keperluan semasa dan masa hadapan industri.

“Pada masa yang sama, UniMAP kini mempunyai 12 makmal Industry on Campus (IoC) yang berperanan membawa teknologi, kepakaran dan pengalaman industri lebih dekat kepada mahasiswa, ahli akademik serta penyelidik.

“Inisiatif ini secara tidak langsung membuka ruang kepada pengembangan kerjasama melalui penubuhan makmal bersama, perkongsian kemudahan, kepakaran dan sumber bagi menghasilkan manfaat yang lebih besar kepada kedua-dua pihak,” ujar beliau. – UTUSAN

The post UniMAP perkukuh jaringan strategik, jalin kolaborasi bersama industri appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved