
REMBAU – Bubbles O2 memperbaharui kerjasama strategiknya bersama Malaysian Football League (MFL) untuk tempoh tiga musim lagi bernilai RM3.3 juta, sekali gus mengukuhkan komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan industri bola sepak profesional negara.
Pengerusi Eksekutif Bubbles O2, Datuk Arifin Marzuki berkata, menerusi perjanjian berkenaan, syarikat itu kekal sebagai Rakan Air Mineral Beroksigen Semula Jadi Eksklusif (Exclusive Naturally Oxygenated Mineral Water Partner) bagi musim Liga Malaysia 2026/2027 hingga 2028/2029.
Menurut beliau, pembaharuan kerjasama itu membuktikan keyakinan kedua-dua pihak terhadap potensi industri bola sepak Malaysia sebagai platform pembangunan jenama tempatan selain menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem sukan negara.
“Kerjasama kami bersama MFL bukan sekadar meletakkan logo Bubbles O2 di stadium atau platform Liga Malaysia, sebaliknya ia adalah komitmen untuk menyokong pembangunan bola sepak negara serta menyumbang kepada pembinaan ekosistem sukan yang lebih mampan.
“Apabila bola sepak Malaysia berkembang, semua pihak akan menerima manfaat termasuk kelab, pemain, penyokong dan jenama tempatan seperti Bubbles O2 yang turut berpeluang berkembang seiring dengan sukan paling diminati rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menyifatkan Bubbles O2 sebagai antara kisah kejayaan syarikat tempatan yang berkembang pesat bukan sahaja dari segi perniagaan, malah berjaya membawa jenama itu ke pasaran antarabangsa. – KOSMO! ONLINE
The post Bubbles O2 sambung kerjasama MFL tiga musim lagi bernilai RM 3.3 juta appeared first on Kosmo Digital.






