Unisem dijangka kukuh dalam FY24 disokong pelan pengembangan di Chengdu dan Ipoh – MIDF Research

Business & Finance
27 Oct 2023 • 9:12 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Unisem dijangka kukuh dalam FY24 disokong pelan pengembangan di Chengdu dan Ipoh – MIDF Research

diyana

27/10/2023 - 09:12

KUALA LUMPUR 27 Okt - Unisem (M) Berhad dijangka menyaksikan pemulihan kukuh pada tahun kewangan 2024 (FY24) disokong pelan pengembangan kumpulan itu di Chengdu dan Ipoh.

Kumpulan itu dilihat dapat memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat dari China dan Taiwan, menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata demikian susulan keputusan suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) yang menunjukkan pemulihan lebih perlahan telah menjejas kadar penggunaan kilang di Chengdu dan Ipoh.

Kemerosotan pendapatan sebanyak 65.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM21.3 juta dalam suku semasa telah menyebabkan pendapatan kumpulan pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) jatuh 72.1% YoY kepada RM52.9 juta.

“Secara keseluruhannya, prestasi kewangan 9MFY23 Unisem berada di bawah jangkaan kami, membentuk hanya 49.9% daripada unjuran pendapatan tahun penuh FY23,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Berikutan pemulihan permintaan lebih lemah daripada jangkaan, MIDF Research mengurangkan lagi pendapatan FY23 sebanyak 24.3% kepada RM80.3 juta.

Namun begitu, firma itu mengekalkan anggaran pendapatan FY24 dan FY25 tidak berubah berdasarkan kadar pemulihan yang lebih kukuh.

Firma tersebut menjangkakan suku akan datang menunjukkan kadar pemulihan yang perlahan, bagaimanapun, akan meningkat pada FY24.

“Pandangan kami disokong oleh pelan pengembangan berterusan kumpulan untuk Chengdu dan Gopeng yang kekal tidak berubah pada ketika ini.

“Ini adalah tepat pada masanya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari China dan Taiwan memandangkan strategi kepelbagaian [perniagaan],” tambahnya.

MIDF Research mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.95 sesaham.

Pada pukul 9:38 pagi ini, saham Unisem turun 2 sen atau 0.7% kepada RM3.08 dengan permodalan pasaran bernilai RM4.97 bilion. - DagangNews.com