hamden31/07/2026 - 16:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai – Unitrade Industries Berhad kembali mencatat keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026) dengan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATNCI) sebanyak RM20.1 juta, sekali gus menandakan kejayaan strategi penstrukturan semula syarikat serta pengembangan portfolio perniagaan hijau sebagai pemacu pertumbuhan masa depan.
Dalam Laporan Tahunan 2026 dan Laporan Kemampanan 2026 yang disiarkan Bursa Malaysia, Unitrade berkata prestasi tersebut merupakan perubahan ketara berbanding kerugian selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (LATNCI) sebanyak RM15.1 juta yang direkodkan pada FY2025.
Pemulihan itu didorong oleh disiplin harga yang lebih baik, gabungan produk yang lebih menguntungkan, pengurusan inventori yang lebih cekap serta kawalan kredit yang lebih ketat sehingga mengurangkan rosot nilai penghutang.
Walaupun hasil kumpulan kekal hampir mendatar pada RM1.77 bilion berbanding RM1.76 bilion tahun sebelumnya, keuntungan kasar melonjak 49.1% kepada RM133.3 juta dengan margin keuntungan kasar meningkat kepada 7.6% daripada 5.1%.
Aliran tunai operasi bersih turut bertambah kepada RM69.9 juta, manakala kedudukan tunai dan setara tunai meningkat kepada RM106.3 juta setakat 31 Mac 2026.
Segmen pemborongan dan pengedaran terus menjadi penyumbang terbesar kepada kumpulan dengan hasil RM926.4 juta atau 52.5% daripada jumlah hasil, meningkat 8.6% berbanding tahun sebelumnya.
Perniagaan Hijau Sumber Pertumbuhan Baharu
Pada masa sama, Unitrade memperkukuh kedudukannya dalam perniagaan hijau menerusi segmen kitar semula logam dan tenaga boleh diperbaharui, yang dilihat bakal menjadi sumber pertumbuhan baharu kumpulan.
Segmen kitar semula logam menjana hasil RM735.1 juta selepas memproses lebih 450,000 tan logam ferus dan bukan ferus sepanjang FY2026, manakala hasil daripada segmen tenaga boleh diperbaharui meningkat 26.7% kepada RM56.5 juta.
Buat pertama kali, Unitrade mempersembahkan tenaga boleh diperbaharui sebagai segmen perniagaan berasingan dalam laporan kewangannya, mencerminkan kepentingan strategik perniagaan itu kepada kumpulan.
Pengarah Urusan Kumpulan, Nomis Sim Siang Leng berkata, FY2026 merupakan titik perubahan penting selepas pelbagai inisiatif transformasi yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu mula membuahkan hasil.
“Walaupun persekitaran operasi masih mencabar, kami kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk mengharungi ketidaktentuan pasaran.
“Keutamaan kami adalah memperkukuh perniagaan pemborongan dan pengedaran di samping terus mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui serta kitar semula logam yang mampu mempelbagaikan sumber pendapatan dan meningkatkan margin keuntungan,” katanya.
Pelepasan Karbon Rendah
Menurut beliau, melalui anak syarikat Intergreen Metals Sdn Bhd dan Kien San Metal Sdn Bhd, Unitrade membekalkan logam kitar semula kepada pengeluar keluli relau arka elektrik yang menghasilkan pelepasan karbon lebih rendah berbanding kaedah konvensional.
Selain prestasi kewangan, FY2026 turut menyaksikan Unitrade menerbitkan Laporan Kemampanan berasingan yang pertama serta menjadi antara syarikat terawal di Malaysia menerima pakai Piawaian Pendedahan Kemampanan IFRS yang diperkenalkan oleh International Sustainability Standards Board (ISSB).
Prestasi kemampanan syarikat turut diiktiraf apabila memperoleh skor 3.5 daripada 5.0 dalam penilaian FTSE4Good, termasuk skor penuh 5.0 bagi aspek tadbir urus. - DagangNews.com






