
KUALA LUMPUR: Kumpulan UNITY bakal mengubat kerinduan peminat terhadap lagu-lagu malar segar kumpulan lagenda, Alleycats menerusi Makan Malam Amal dan Konsert Kisah Kau dan Aku yang bakal berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang pada 26 Disember ini.
Menurut vokalis UNITY, Kamal CRK atau Mohamad Kamal Mohd Rashidy, konsert berkenaan dijangka berlangsung selama dua jam setengah dengan mempersembahkan kira-kira 26 buah lagu popular kumpulan legenda tanah air itu.
“Alleycats mempunyai kira-kira 240 buah lagu dan boleh dikatakan hampir keseluruhannya merupakan karya hebat. Proses pemilihan lagu agak sukar kerana kami perlu melihat permintaan peminat.
“Memang ramai yang tidak berpuas hati apabila lagu kegemaran mereka tidak dapat dipersembahkan. Memang ramai peminat yang tidak berpuas hati kerana lagu kegemaran mereka tidak dapat dipersembahkan.
“Jadi, kami perlu mengikut suara majoriti berdasarkan lagu yang menerima permintaan paling tinggi,” katanya ketika ditemui di sidang media Makan Malam Amal dan Konsert Kisah Kau dan Aku, pada Khamis.
UNITY turut dianggotai oleh Sharil (gitar), Ah Meng (bass yang juga bekas anggota Alleycats), Randall Lam (dram), Jane (keyboard) dan Noor Solihin (vokalis & perkusi).
Lebih istimewa, konsert tersebut turut menampilkan penyanyi terkenal, Datuk Hattan sebagai artis jemputan yang bakal menyampaikan beberapa lagu Alleycats, selain berduet dengan Kamal.
“Apabila saya menyanyi di TikTok, ramai netizen membandingkan suara saya dengan Datuk Hattan kerana dikatakan mempunyai tona hampir sama. Jadi, saya sengaja membawa beliau supaya orang ramai boleh mendengar sendiri perbezaan suara kami.
“Beliau juga akan menyampaikan lagu seperti Sekuntum Mawar Merah, Setahun Sudah Berlalu dan Kerana Kau. Insya-Allah, saya akan berduet dengannya,” jelasnya.
Sementara itu, bekas anggota Alleycats yang kini bersama UNITY, Ah Meng berkata, konsep makan malam dipilih bagi mewujudkan suasana persembahan lebih santai dan mesra keluarga.
“Konsep persembahan lagu-lagu Alleycats lebih kepada perjumpaan keluarga. Kami mahu penonton menikmati jamuan sambil mendengar muzik dan berhibur.
“Lagu-lagu Alleycats juga sudah merentasi tiga hingga empat generasi. Peminat kami dahulu sekarang sudah menjadi datuk dan nenek. Ada yang mempunyai lima atau enam orang cucu,” kongsinya.
Dalam pada itu, Ah Meng menegaskan UNITY tidak berhasrat menggantikan Alleycats, sebaliknya mahu terus memelihara legasi muzik kumpulan legenda berkenaan.
“Alleycats hanya ada satu. Kami merupakan kumpulan tribute kepada Alleycats dan tidak akan mengubah muzik asal mereka kerana mahu mengekalkan identiti kumpulan itu,” ujarnya.
Difahamkan, sebahagian daripada pendapatan yang diperoleh menerusi penganjurqn konsert tersebut akan disalurkan kepada beberapa penggiat seni yang memerlukan seperti Ali XPDC, Amyza Aznan dan ramai lagi.
The post UNITY kembalikan nostalgia Alleycats appeared first on Utusan Malaysia.


