
Dua ‘label’ berkolaborasi menjadi rakan strategik pemasaran muzik tempatan! Gabungan antara syarikat rakaman muzik tempatan Alternate Records dan syarikat rakaman bertaraf antarabangsa, Universal Music Malaysia dijangka membawa revolusi dalam landskap muzik tempatan dan bakal membuka peluang baharu untuk artis-artis tempatan untuk meluaskan pengaruh muzik mereka di peringkat domestik, serantau dan global.
Kerjasama antara Alternate Records yang terkenal dengan pendekatan inovatif dan kreatif dalam penerbitan muzik, bergabung tenaga dengan syarikat rakaman antarabangsa Universal Music Malaysia yang tidak asing lagi dengan rangkaian artis ternama, meletakkan satu anjakan paradigma bagi memperkenalkan perubahan yang baharu dalam industri muzik tempatan bagi memenuhi cita rasa penggemar muzik melalui gabungan kepakaran dari dua syarikat rakaman yang berbeza.
Menurut Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, pihaknya perlu bekerjasama dengan syarikat rakaman tempatan yang berjaya untuk membina sebuah ‘rumah’ kepada bakat baharu.
“Sebagai syarikat rakaman antarabangsa, kami sentiasa percaya bahawa kerjasama dengan syarikat rakaman tempatan yang berjaya seperti Alternate Records adalah penting bagi mencungkil bakat baharu agar kepelbagaian genre muzik dapat dihasilkan.
"Ia juga merupakan satu langkah yang penting dalam mengembangkan lagi industri muzik tanah air. Dengan menggabungkan kepakaran kedua-dua belah pihak, kami percaya yang kerjasama ini bakal meningkatkan lagi keupayaan kami dalam memahami selera tempatan dan mengukuhkan lagi komitmen kami dalam menggalakkan inovasi dan kepelbagaian dalam
industri muzik."
Tambah Kim Lim lagi, “Bagi kami, tidak semestinya mengenai dari mana asal artis tersebut. Yang lebih penting adalah jika muzik benar-benar berhubung dengan pendengar dan sesuai dengan visi yang kita cuba bina bersama,”
Kim Lim berpendapat, kerjasama kedua pihak adalah tepat selain menyifatkan kejayaan Alternate Records & Talents dalam pasaran muzik masa kini.
"Alternate Records & Talents telah berjaya mencungkil bakat dan menghasilkan beberapa artis, lagu dan runut bunyi yang menonjol dalam pasaran masa kini. Pengumuman kerjasama dengan Alternate Records & Talents hanyalah langkah pertama kedua-dua syarikat rakaman muzik untuk berganding bahu mengembangkan lebih ramai bakat hebat untuk industri muzik Malaysia,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, antara artis yang telah dan bakal memulakan projek kerjasama itu seperti Marsha Milan, Rahmad Mega, Puteri Khareeza, Sonaone, Ernie Zakri, Bella Astillah dan Ezra Kairo.



