
JAKARTA – Kebakaran hutan dan tanah berlaku di Jalan Berangas Timur, Kabupaten Barito Kuala, wilayah Kalimantan Selatan kelmarin, lapor laman berita Detik.com
Api marak hingga malam hari dan mengepung hampir seluruh kawasan kampus Universiti Islam Kalimantan (Uniska).
Asap tebal mengganggu pembelajaran dalam kampus dengan mahasiswa Uniska dikenali sebagai Ahmad berkata, api yang muncul sangat besar dan disertai asap pekat.
“Ini sangat mengganggu aktiviti mahasiswa dan penduduk sekitar,” kata Ahmad.
Seorang sukarelawan bomba, Suparlin Jijan memberitahu, kebakaran hutan di Semangat Bakti itu turut membakar dua rumah penduduk.
“Di Semangat Bakti tadi, dua rumah penduduk terbakar,” katanya.
Keadaan malam kelmarin menyaksikan beratus-ratus petugas membasahkan tanah di kawasan gambut terbakar yang terletak di depan kampus.
Suparlin turut menasihati masyarakat agar tidak menciptakan titik api dengan membakar sampah, maupun membuang puntung rokok secara sembarangan kerana titik api yang sudah muncul sukar untuk dipadamkan.
“Semoga jadi perhatian masyarakat dan pemerintah agar hal serupa tidak terjadi,” tambahnya. – AFP
The post Universiti Indonesia dikepung kebakaran hutan, 2 rumah hangus appeared first on Kosmo Online.



