johardy30/10/2026 - 08:00 Oleh Ts. Mohd Rafizi Rahmad suratpembaca@dagangnews.com Universiti tidak seharusnya hanya berperanan melahirkan tenaga profesional yang mahir dari segi teknikal, tetapi turut memikul tanggungjawab membentuk insan yang memiliki nilai kemanusiaan, integriti, etika dan keupayaan berfikir secara kritis.
Peranan hakiki institusi pengajian tinggi bukan sekadar menyediakan graduan untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan, bahkan membentuk golongan profesional yang mampu mengemudi peradaban bangsa agar sentiasa berpaksikan nilai, etika, integriti dan keluhuran budi pekerti.
Dalam konteks ini, pengisytiharan 29 September setiap tahun sebagai Hari Ikhtisas Malaysia oleh Perdana Menteri merupakan satu ketetapan strategik yang signifikan dalam pembangunan negara, sejajar dengan hasrat memartabatkan kedudukan serta integriti golongan profesional.
Pengiktirafan ini bukan sekadar sambutan rasmi dalam kalendar tahunan, bahkan menuntut satu refleksi mendalam mengenai peranan sebenar warga profesional dalam pembangunan negara.
Dalam menghadapi cabaran globalisasi yang semakin kompleks dan pantas berubah, perbincangan mengenai hala tuju profesionalisme negara tidak boleh dipisahkan daripada institusi yang melahirkan golongan profesional itu sendiri, iaitu universiti.
Menyoroti falsafah pendidikan tinggi moden, kita wajar meneliti semula pemikiran ahli falsafah Sepanyol, José Ortega y Gasset, menerusi karya beliau, Mission of the University yang diterbitkan pada 1930.
Beliau menegaskan bahawa kewajipan utama institusi pengajian tinggi adalah menyampaikan kebudayaan am yang menyeluruh, di samping menyediakan latihan profesional dan menjalankan penyelidikan saintifik yang mendalam.
Universiti bukan sekadar kilang tenaga kerja
Pemikiran tajam Ortega ini terus relevan, malah semakin mendesak untuk diketengahkan semula di negara kita.
Ini terutamanya ketika kita berhadapan dengan kecenderungan semasa yang terlalu taksub untuk mengubah universiti menjadi sekadar kilang komersial pencetak tenaga kerja atau mesin pengeluar kemahiran teknikal yang steril daripada roh kemanusiaan.
Menurut Ortega, institusi pengajian tinggi memikul tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada sekadar melatih individu menjadi jurutera yang cekap, doktor yang mahir atau peguam yang petah berhujah mengenai undang-undang tanpa mempunyai kefahaman yang utuh tentang falsafah hidup dan matlamat peradaban manusia.
Beliau membahagikan peranan universiti kepada tiga tiang utama yang seimbang dan saling melengkapi, iaitu penyampaian kebudayaan, pengajaran profesion dan penyelidikan saintifik.
Tiang pertama, iaitu penyampaian kebudayaan, diletakkan sebagai asas paling utama yang mesti dikuasai oleh setiap penuntut ilmu sebelum mereka mendalami bidang pengkhususan masing-masing.
Melalui penyampaian kebudayaan am, universiti berkewajipan menyemai sistem idea asas tentang hakikat alam semesta, martabat insan, dinamika sejarah dan struktur masyarakat kontemporari ke dalam jiwa setiap mahasiswa.
Tanpa penguasaan terhadap idea asas ini, seseorang individu hakikatnya masih berada dalam keadaan buta budaya, meskipun dianugerahkan kelayakan akademik tertinggi seperti Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sains tulen, kejuruteraan canggih atau bidang lain yang berkaitan.
Ilmu teknikal tanpa falsafah ibarat pedang tanpa pedoman
Keadaan ini timbul kerana ilmu teknikal tanpa bingkai falsafah dan sejarah ibarat sebilah pedang tajam di tangan individu yang hilang arah pedoman.
Selepas memastikan kukuhnya asas kebudayaan, barulah tiang kedua, iaitu pengajaran profesion, digerakkan untuk melahirkan pakar dalam bidang khusus yang kompeten.
Tiang ketiga pula menumpukan kepada penyelidikan saintifik tulen bagi meneroka pengetahuan baharu demi kemaslahatan umat manusia sejagat.
Namun demikian, Ortega telah mengemukakan satu diagnosis falsafah yang amat menginsafkan mengenai bahaya ketandusan keseimbangan ini menerusi konsep yang dinamakan sebagai The Specialist.
Konsep ini merujuk kepada fenomena kelahiran golongan pakar yang amat mahir menguasai sebahagian kecil bidang pengetahuan mereka, tetapi malangnya berada dalam keadaan jahil secara radikal terhadap perkara lain di luar lingkungan kepakaran sempit tersebut.
Fenomena ini melahirkan apa yang diistilahkan beliau sebagai the barbarism of specialization atau kebebalan kepakaran.
Dalam keadaan ini, masyarakat dipimpin dan diuruskan oleh golongan teknokrat yang canggih dari segi penguasaan peralatan digital dan algoritma moden, tetapi tandus empati, muflis nilai moral, buta sejarah serta gagal memahami implikasi sosial dan etika daripada dasar atau tindakan yang mereka laksanakan.
Bahaya melahirkan pakar yang tandus nilai kemanusiaan
Apabila universiti gagal mempertahankan fungsi asasnya sebagai tempat pembentukan insan berbudaya dan sebaliknya hanya melahirkan 'lebah-lebah pekerja' yang patuh kepada mekanisme pasaran tanpa daya pemikiran kritis, kita sebenarnya sedang meruntuhkan sendi peradaban dari dalam.
Graduan yang dihasilkan mungkin mampu mengendalikan mesin paling rumit atau membina struktur pencakar langit yang megah, tetapi mereka ketara gagal menjawab persoalan asas mengenai keadilan, kesaksamaan, kemanusiaan dan erti hidup bermasyarakat.
Di sinilah letaknya keperluan mendesak untuk memperkasakan semula komponen ilmu kemanusiaan, pendidikan liberal dan pembentukan watak dalam segenap ruang akademik universiti kita.
Langkah ini penting agar institusi ilmu tidak merosot menjadi kilang mekanistik semata-mata, sebaliknya kekal sebagai mercu tanda peradaban yang melahirkan pemikir unggul dan pemimpin bangsa yang berjiwa besar.
Bersempena dengan semangat pengisytiharan Hari Ikhtisas Malaysia yang meraikan golongan profesional negara, sudah tiba masanya untuk institusi pengajian tinggi, terutamanya universiti awam di tanah air, melakukan muhasabah menyeluruh dan penstrukturan semula falsafah kurikulum mereka.
Universiti mesti dikembalikan fungsinya sebagai gelanggang agung wacana intelektual yang meraikan pertembungan idea secara sihat, memupuk pemikiran kritis dan menyatukan ketepatan sains serta teknologi dengan kehalusan seni, etika dan falsafah kemanusiaan.
Profesional bukan sekadar pelaksana teknikal
Warga profesional negara tidak boleh lagi dilihat hanya sebagai pelaksana teknikal di sektor awam atau swasta, tetapi harus diangkat sebagai intelektual bijaksana yang menyumbang kepada pencerahan pemikiran masyarakat dan penyelesaian tuntas permasalahan negara.
Dengan menyahut pandangan sarjana besar Ortega y Gasset, kita berupaya membina ekosistem profesionalisme yang bukan sahaja unggul dari segi kecekapan kerja, malah turut luhur dari segi integriti serta berakar umbi pada nilai peradaban yang tinggi demi mewujudkan sebuah Malaysia MADANI yang gemilang di persada global. - DagangNews.com
Ts. Mohd Rafizi bin Rahmad, CHRM, MMIHRM merupakan Ketua Timbalan Pendaftar merangkap Pengarah Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI), Universiti Teknologi MARA (UiTM), serta Naib Presiden 1, Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM)





