Unjuran pendapatan Globetronics bagi FY23-25 diturunkan susulan prestasi lemah pada 3QFY23 – MIDF Research
diyana
25/10/2023 - 10:10
KUALA LUMPUR 25 Okt - MIDF Research menurunkan unjuran pendapatan Globetronics Technology Berhad bagi tahun kewangan 2023, 2024 dan 2025 (FY23-25) masing-masing kepada RM23.8 juta, RM30.7 juta dan RM35.7 juta.
Ini adalah berikutan prestasi kewangan suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), di mana firma penyelidikan tersebut mengurangkan kadar pertumbuhan pendapatan terutamanya untuk perniagaan sensor.
Firma tersebut mengekalkan saranan ‘jual’ terhadap saham dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 89 sen sesaham daripada 99 sen sebelum ini.
Firma itu berkata, meskipun Globetronics sepatutnya mencatat suku-suku lebih baik secara berurutan pada masa akan datang, pada asas tahunan pendapatan FY23 masih akan menyaksikan pengurangan ketara berbanding FY22.
“Ini memandangkan permintaan untuk produknya lebih rendah, mengekalkan kadar penggunaan yang rendah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma itu, pendapatan Globetronics kembali normal pada RM7.9 juta, merosot 11.8% tahun ke tahun (yoy), namun secara berurutan, pendapatan kumpulan bertambah baik suku ke suku (qoq) sebanyak 223.8% memandangkan pemuatan volum yang lebih tinggi.
Untuk konteks, katanya, pendapatan 3QFY23 meningkat 9.9% qoq kepada RM34.6 juta yang dipercayai daripada perniagaan sensor. Firma itu berkata kadar penggunaan bertambah baik daripada 66% kepada 72%.
Secara kumulatif, pendapatan sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) berjumlah RM13.6 juta (susut 50.7%yoy), diterajui oleh hasil 9MFY23 yang lebih rendah sebanyak RM99.3 juta (susut 27.5%yoy), terutamanya berpunca daripada produk sensor.
“Secara keseluruhan, kami melihat bahawa prestasi kewangan 9MFY23 Globetronics berada di bawah jangkaan kami, membentuk kira-kira 49.3% daripada anggaran pendapatan tahun penuh kami bagi FY23,” jelasnya.
Di samping itu, MIDF Research berkata pihak pengurusan kumpulan memaklumkan bahawa terdapat produk dan/atau platform baharu yang sedang dibangunkan, yang berkemungkinan dapat dilihat pada 2024.
“Selain itu, kami difahamkan bahawa terdapat lebih banyak pertanyaan daripada China dan Taiwan memandangkan kepelbagaian operasi perniagaan. Pangkalan pelanggan yang lebih luas akan membantu mengurangkan sebahagian daripada kebimbangan terhadap kadar penggunaan yang rendah,” tambahnya.
Pada pukul 10:08 pagi ini, saham Globetronics turun 1 sen atau 0.7% kepada RM1.39 dengan permodalan pasaran bernilai RM933.4 juta. - DagangNews.com

