Unjuran pendapatan KIP REIT bagi FY24-26 ditingkatkan sehingga 9% didorong sumbangan KIPMall Kota Warisan – TA Securities
diyana
25/10/2023 - 11:38
KUALA LUMPUR 25 Okt - Unjuran pendapatan KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 hingga 2026 (FY24-26) ditingkatkan sebanyak 2% hingga 9% bagi mencerminkan sumbangan pendapatan daripada KIPMall Kota Warisan, menurut TA Securities.
Berikutan pemegang unit KIP REIT meluluskan pengambilalihan KIPMall Kota Warisan pada 4 Oktober lalu, firma penyelidikan itu berkata urus niaga tersebut dijangka siap pada suku pertama tahun depan (bersamaan suku ketiga tahun kewangan 2024 [3QFY24]).
Ini mengembangkan aset mereka di bawah pengurusan melebihi RM1 bilion, justeru portfolio KIP REIT akan merangkumi 11 hartanah, yang terdiri daripada lapan pusat beli-belah komuniti dan tiga hartanah perindustrian.
“Kami positif terhadap pengambilalihan hasil-akretif ini memandangkan hasil pendapatan hartanah bersih sebanyak 7.9%, yang melebihi hasil purata 6.5% untuk hartanah runcit KIP REIT yang lain pada FY23,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut TA Securities, pihak pengurusan REIT terbabit optimis terhadap potensinya untuk mengembangkan portfolio aset perindustriannya dan mendapatkan penyewaan jangka panjang yang stabil, memandangkan prestasi sektor perindustrian dijangka kukuh.
Firma itu berkata, bagi jangka panjang, pasukan pengurusan KIP REIT telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan nilai portfolio kepada RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
Mengulas mengenai KIPMall Bangi yang sedang diubah suai, firma itu berkata kerja tersebut mengikut jadual untuk disiapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini dan kini sedang menjalani pembukaan semula secara berperingkat, dengan kadar penghunian terkini berada pada 85%, berbanding 80% yang dicatatkan pada September 2023.
“Setelah selesai pengubahsuaian, pihak pengurusan menjangkakan kadar penghunian di KIPMall Bangi akan melepasi 90%,” tambahnya.
Walaupun firma itu menaikkan unjuran pendapatan, pendapatan seunit (EPU) dan pengagihan seunit (DPU) bagi FY24-26 hanya dinaikkan sebanyak 1% hingga 6% disebabkan oleh penggabungan 12.3 juta penempatan unit baharu, menyebabkan peningkatan 2% dalam jumlah unit yang diterbitkan.
Oleh itu, TA Securities mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.08 sesaham daripada RM1.04 sebelumnya, berdasarkan hasil sasaran 2024 yang tidak berubah sebanyak 6.75%. - DagangNews.com

