Unjuran pendapatan PPB bagi FY23 dan FY24 dikurangkan sehingga 29% akibat kelemahan sumbangan Wilmar – MIDF Research
diyana
14/08/2023 - 11:12
KUALA LUMPUR 14 Ogos - MIDF Research telah mengurangkan unjuran pendapatan PPB Group bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23 dan FY24) masing-masing sebanyak 29% dan 16% kepada RM1.35 bilion dan RM1.38 bilion, ekoran sumbangan Wilmar International Ltd yang lebih lemah pada separuh pertama 2023 (1H23).
Firma penyelidikan itu turut menurunkan taraf saranan saham PPB Group kepada ‘neutral’ daripada 'beli' dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM15.17 sesaham berbanding RM19 sebelumnya.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, MIDF Research berkata sumbangan Wilmar pada 1H23 telah menjunam 52% tahun ke tahun (YoY) kepada AS$577 juta, sejajar dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) menurun 57% YoY kepada AS$697.7 juta.
Oleh itu, unjuran pendapatan PPB Group dikurangkan setelah firma itu mengurangkan unjuran pendapatan bagi sumbangan Wilmar bagi FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 31% dan 17% kepada RM1.3 bilion dan RM1.32 bilion.
Tambahnya, ia menjangkakan sumbangan keuntungan Wilmar lebih rendah daripada tiga peniagaan utamanya iaitu produk makanan; makanan dan produk perindustriannya; serta perladangan dan pengilangan gula.
“Selain itu, dengan penyatuan dalam harga gandum, yang telah menurun 12% suku ke suku kepada purata AS$255.8 setiap tan metrik pada suku kedua tahun ini, menyebabkan bijirin dan perniagaan tani menjadikan margin pulih seperti biasa.
“Justeru kami menjangkakan segmen ini akan terus mengekalkan keuntungan operasi kumpulan pada paras RM160 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang,” tambahnya.
Mengulas mengenai pelupusan 51% kepentingan ekuiti PPB Group dalam PT Pundi Kencana baru-baru ini, MIDF Research berkata ia dijangka memperoleh keuntungan sebanyak RM24.8 juta (berdasarkan kadar pertukaran semasa).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat lalu (11 Ogos), PPB Group berkata anak syarikatnya, Mantap Aman Sdn Bhd (MASB) telah menandatangani perjanjian jual beli bersyarat, melalui FFM Berhad, dengan dua firma Indonesia, PT Sentratama Niaga Indonesia dan PT Wilmar Nabati Indonesia.
Kepentingan ekuiti tersebut akan dilupuskan untuk pertimbangan tunai sebanyak RM87.5 juta yang akan digunakan untuk pelaburan dan modal kerja pada masa depan. - DagangNews.com

