Kenanga Research semak turun unjuran untung bersih Pharmaniaga sebanyak 32% bagi FY23

Business & Finance
14 Aug 2023 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenanga Research semak turun unjuran untung bersih Pharmaniaga sebanyak 32% bagi FY23

azan

14/08/2023 - 10:30

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kenanga Research menyemak turun unjuran untung bersih Pharmaniaga Berhad bagi FY23 sebanyak 32% manakala 7% untuk FY24.

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu adalah selepas kumpulan itu merekodkan untung bersih yang mengecewakan bagi 1HFY23 sebanyak RM4.6 juta iaitu penyusutan 84% daripada tahun ke tahun atau 9% dan 11% daripada anggaran setahun penuh dan konsensus mereka.

Katanya, unjuran itu juga berdasarkan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan.

"Kami kekal berhati-hati terhadap kumpulan itu selepas ekuiti pemegang saham negatif sebanyak RM138 juta pada 30 Jun 2023 menghalang keupayaannya untuk pemberian dividen dan mereka juga terpaksa menawarkan kadar yang lebih kompetitif dengan kerajaan mencari kontrak yang lebih baik.

"Pharmaniaga juga berdepan pelbagai risiko termasuk mendapatkan kontrak baharu kerajaan, pelan penyusunan semula untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) dan penswastaan pada premium yang ketara kepada harga pasaran semasa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Terdahulu, untung bersih kumpulan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) susut 25.94% daripada RM2.65 juta berbanding 1QFY23 akibat sumbangan yang lebih rendah daripada perniagaan konsesinya dengan Kementerian Kesihatan (KKM) semasa musim perayaan.

Sebelum itu, Pharmaniaga diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 pada Februari tahun ini selepas mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM664.39 juta pada suku keempat FY22 dan perlu membuat peruntukan sebanyak RM552.3 juta untuk stok vaksin COVID-19 yang tidak terjual.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu yakin terhadap prospek mereka dan pelan strategiknya untuk keluar daripada klasifikasi PN17 selain sedang merangka pelan penyusunan semula.

Sasarannya adalah untuk menyerahkan pelan penyusunan semula oleh suku ketiga tahun ini dan menyiapkannya sebelum suku pertama 2024.

"Kami menjangkakan pertumbuhan untuk FY23 kekal pada tahap sebelum COVID-19 dengan puerata RM40 juta hingga RM60 juta didorong pesanan tetap untuk bekalan perubatan daripada konsesi Kementerian Kesihatan (KKM).

"Setelah menerima surat anugerah pada Julai 2023, perjanjian konsesi baharu kumpulan itu dijangka ditandatangani menjelang suku ketiga tahun ini," katanya. - DagangNews.com