Unjuran pendapatan Velesto pada FY23-24 dikurangkan 9% setiap satu ekoran peningkatan kos buruh – Kenanga Research
diyana
30/11/2023 - 12:40
KUALA LUMPUR 30 Nov - Kenanga Research mengurangkan unjuran pendapatan Velesto Energy Berhad bagi tahun kewangan 2023 hingga 2024 (FY23-24) sebanyak 9% setiap satu bagi mencerminkan peningkatan 10% dalam kos buruh.
Selain itu, firma penyelidikan tersebut menurunkan sedikit andaian penggunaan pelantar kepada 88% (daripada 92%) untuk FY23 dan 89% (daripada 94%) untuk FY24 untuk menggambarkan potensi pemberhentian pelantar ketika peralihan kerja pelantar.
Sehubungan itu, firma itu mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) dikurangkan sebanyak 11% kepada 17 sen sesaham daripada 19 sen berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi FY24 sebanyak 15 kali ganda.
Peningkatan kos buruh dan penggunaan pelantar yang lebih rendah daripada jangkaan telah menyebabkan keuntungan bersih kumpulan bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan (9MFY23) meleset, dengan hanya merangkumi 55% dan 54% daripada ramalan tahun penuh Kenanga Research dan konsensus.
"Peningkatan kos buruh akan berterusan sehingga FY24, memandangkan keadaan buruh yang ketat dalam sektor penggerudian pada masa ini.
"Walaupun terdapat peningkatan ketara dalam kadar sewa harian (DCR) untuk pelantar, kami percaya ia perlu meningkat jauh lebih tinggi, iaitu sekurang-kurangnya kepada AS$130,000 selepas pembaharuan daripada separuh kedua tahun kewangan 2024 (2HFY24) untuk menjamin peningkatan pendapatan," ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Kenanga Research, pada masa ini, kesemua enam pelantar Velesto digunakan dengan Naga 4 telah menyelesaikan Tinjauan Berkala Khas (SPS) lima tahunnya baru-baru ini , manakala Naga 3 dan 4 telah memulakan kerja untuk Petronas Carigali.
Oleh itu, firma itu menjangkakan kadar penggunaan pelantar akan bertambah baik dalam 4QFY23.
Firma itu berkata ia lebih suka mengelak Velesto ketika ini disebabkan oleh pemampatan margin daripada persekitaran kos inflasi, di samping beberapa kontrak yang bakal tamat tempoh pada FY24, menunjukkan peningkatan pemberhentian pelantar.
Selain itu, Velesto tidak berupaya untuk mendapat manfaat daripada DCR serantau sebanyak AS$130,000 hingga AS$140,000, kerana majoriti pelantar telah komited untuk menurunkan DCR.
Pada rehat tengah hari, saham Velesto telah menokok 1 sen atau 4.6% kepada 23 sen, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM1.9 bilion. - DagangNews.com


