TA Securities turunkan unjuran pendapatan FGV bagi FY23-25 sehingga 98.8% akibat kemerosotan prestasi 3QFY23
diyana
30/11/2023 - 14:30
KUALA LUMPUR 30 Nov - TA Securities menurunkan unjuran pendapatan FGV Holdings Bhd bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 55.6% sehingga 98.8% susulan prestasi suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) di bawah jangkaan.
Ini adalah selepas firma penyelidikan itu mengambil kira keputusan suku ketiga yang lebih rendah daripada jangkaan, pengeluaran buah tandan segar (BTS) lebih rendah agar selaras dengan panduan pengurusan, kos pengeluaran lebih tinggi dan sumbangan lebih lemah daripada usaha samanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.41 sesaham daripada RM1.45 sebelumnya, berdasarkan nisbah nilai saham kepada nilai buku (P/BV) tahun kalendar 2024 sebanyak 0.8 kali ganda.
Menurut firma itu, spread pegangan saham awam FGV berada pada 13.09% pada 22 November 2023, gagal memenuhi keperluan 25%, di mana ia telah menerima lanjutan kelima daripada Bursa Securities untuk mematuhi keperluan tersebut menjelang 2 Mac 2024.
"Kami percaya Felda, yang memegang 81.91% saham FGV, akan melupuskan beberapa saham untuk mematuhi keperluan spread pegangan awam, selepas selesai terbitan bonus, yang dijangka selesai pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Mengulas tentang prospek FGV, TA Securities berkata pengurusan kumpulan menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal di antara RM3,800 dan RM4,000 setiap tan dalam 4QFY23.
"Pengeluaran buah tandan segar dijangka berkembang sebanyak 10% hingga 16% pada 4QFY23 seiring dengan hasil yang lebih baik.
"Peningkatan dalam pengeluaran biji minyak global pada 2024 bagi kacang soya dan biji bunga matahari yang lebih besar berpotensi menimbulkan risiko penurunan harga MSM," tambahnya.
Sementara itu, firma tersebut berkata perkembangan peristiwa El-Nino berkemungkinan akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya awal 2024 dan akan melemah selepas itu.
TA Securities percaya El-Nino mempunyai kesan positif terhadap harga MSM kerana fenomena itu dianggap sebagai isu sentimen pasaran yang kukuh.
"Bagaimanapun, kesan cuaca mungkin diimbangi oleh masalah buruh yang berkurangan dan menyebabkan kecekapan dalam pemulihan tanaman, pada pandangan kami," katanya.
Pada pukul 2:27 petang ini, saham FGV kekal pada RM1.35, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM4.9 bilion. - DagangNews.com

