Unjuran pendapatan YTL Power bagi FY24 dinaikkan 41% disokong momentum kukuh pendapatan PowerSeraya – Kenanga Research

Business & Finance
25 Aug 2023 • 4:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Unjuran pendapatan YTL Power bagi FY24 dinaikkan 41% disokong momentum kukuh pendapatan PowerSeraya – Kenanga Research

diyana

25/08/2023 - 16:58

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Unjuran pendapatan YTL Power International Bhd bagi tahun kewangan 2024 (FY24) dinaikkan 41% selepas mengambil kira momentum pendapatan PowerSeraya yang dijangka kekal tinggi dalam tempoh setahun hingga dua tahun akan datang berbanding jangkaan enam bulan sebelum ini, kata Kenanga Research.

Susulan keputusan YTL Power bagi tahun kewangan 2023 (FY23) baru-baru ini, firma penyelidikan itu berkata prestasi mantap PowerSeraya dan sumbangan sulung daripada Loji Kuasa Attarat serba baharunya telah memacu prestasi kumpulan.

“Keuntungan teras YTL Power pada FY23 berjumlah RM1.97 bilion mengatasi ramalan kami dan konsensus pasaran sekali lagi, masing-masing sebanyak 28% dan 52%.

“Bagaimanapun, ini telah dikurangkan oleh kerugian sebelum cukai sebanyak RM94.8 juta di Wessex Water berbanding andaian keuntungan sebelum cukai kami sebanyak RM100 juta kerana kos operasi kekal tinggi,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut firma itu, pendapatan kumpulan pada FY23 melonjak 23% berikutan kenaikan 27% dalam pendapatan PowerSeraya disebabkan harga runcit dan kumpulan lebih tinggi.

Manakala pendapatan daripada aktiviti pegangan pelaburan melonjak 140% disebabkan sumbangan sulung Attarat sebanyak RM340.8 juta berbanding unjuran RM9.4 juta.

Selain jangkaan momentum pendapatan kekal tinggi hingga dua tahun, firma tersebut turut menggabungkan pendapatan daripada Attarat tetapi mengurangkan pendapatan Wessex Water.

“Sementara itu, kami memperkenalkan set FY25 baharu, di mana kami meramalkan pendapatan sesaham (EPS) menurun 6% kerana kami menjangkakan pendapatan PowerSeraya yang lebih rendah disebabkan kesan asas tinggi,” tambahnya.

Di samping itu, firma itu juga menaikkan unjuran dividen sesaham bersih (NDPS) bagi FY24 kepada 6 sen berbanding 5 sen, sejajar dengan pembayaran sebenar FY23 dan menjangkakan NDPS yang sama untuk FY25.

Kenanga Research berkata ia terus menyukai YTL Power disebabkan: (i) prospek pendapatan PowerSeraya teguh, dan (iii) potensi pendapatan yang besar daripada usaha niaga pusat data baharu.

Oleh itu, firma tersebut mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM2.14 sesaham daripada RM1.85 sebelumnya.

Setakat 5 petang ini, saham YTL Power didagang tinggi pada RM1.88, menokok 13 sen atau 7.4% dengan permodalan pasaran sebanyak RM15.3 bilion. Setakat ini, saham tersebut telah meningkat 161% sejak awal tahun. - DagangNews.com