Pendapatan SP Setia Bhd dijangka meningkat pada FY24 dipacu penjualan dua tanah bernilai RM940 juta – Kenanga Research

Business & Finance
17 Aug 2023 • 10:58 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan SP Setia Bhd dijangka meningkat pada FY24 dipacu penjualan dua tanah bernilai RM940 juta – Kenanga Research

diyana

17/08/2023 - 10:58

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Pendapatan SP Setia Bhd dijangka meningkat pada tahun kewangan 2024 (FY24) dipacu oleh penjualan dua bidang tanah bernilai RM940 juta, menurut Kenanga Research.

Ini adalah rentetan penjualan tanah Glengowrie, Semenyih berharga RM392 juta kepada Mah Sing Group Bhd dan tanah di Tebrau, Johor kepada Scientex Bhd yang bernilai RM548 juta.

Susulan perkongsian daripada SP Setia semalam, Kenanga Research berkata kumpulan itu berpendapat bahawa walaupun tanpa penjualan dua tanah berkenaan, bank tanahnya boleh mengekalkan pembangunan bagi tempoh 30 tahun lagi, mungkin menunjukkan pengoptimuman tambahan bagi pegangan tanahnya.

Selain itu, sasaran jualan kumpulan sehingga akhir tahun ini boleh naik semula, didorong minat yang semakin meningkat dalam produk Johornya berikutan projek RTS Singapura-Johor Bharu yang dijangka siap pada 2026.

“Walaupun kami meningkatkan unjuran pendapatan FY23 sebanyak 13% disebabkan pendapatan operasi bukan utama yang lebih baik, kami meningkatkan pendapatan FY24 pada 187% dengan mengambil kira pengiktirafan akan datang bagi dua jualan tanah utamanya berjumlah RM940 juta di Glengowrie dan Tebrau,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma itu turut meningkatkan harga sasaran (TP) saham SP Setia kepada 68 sen sesaham daripada 38 sen namun mengekalkan saranan ‘underperform’ disebabkan kebimbangan terhadap hutangnya yang tinggi.

Mengulas prestasi kumpulan pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) yang diumumkan semalam, firma itu berkata keputusan tersebut melebihi jangkaannya dengan merangkumi 57% daripada anggaran tahun penuh namun di bawah ramalan konsensus pada 33%.

Kenanga Research berkata kerugian usaha samanya di Battersea terus melebar akibat kos pegangan kekosongan lebih tinggi daripada unit tidak terjual dan penyewaan yang semakin berkurangan, serta peningkatan kadar asas United Kingdom (UK).

“Buat masa ini, usaha sama tersebut mungkin masih bergelut untuk memperoleh pulangan modal tetapi kumpulan itu mengekalkan aliran tunai cukup sihat tahun ini.

Sementara itu, asetnya di Australia, iaitu UNO, Melbourne, dijangka menyaksikan jualan belum dibilkan sebanyak RM1 bilion diiktiraf pada 4QFY23, yang mungkin menyebabkan keputusan tidak konsisten.

Di samping itu, firma itu berpendapat bahawa penjualan dua tanah tahun ini mungkin mempercepatkan lagi penggearan kumpulan ke tahap aspirasi 0.3 kali.

Setakat pukul 10:55 pagi ini, saham SP Setia telah menokok 7 sen atau 8.9% kepada 86 sen, menilai permodalan pasaran kumpulan itu pada RM3.5 bilion. - DagangNews.com