Unjuran untung bersih CelcomDigi dikurangkan bagi FY23-25 kesan susut nilai dan pelunasan - Maybank IB
diyana
25/05/2023 - 10:30
KUALA LUMPUR 25 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengurangkan unjuran keuntungan bersih CelcomDigi Berhad bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 15 hingga 17%.
“Kami menyemak turun unjuran keuntungan bersih FY23, FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 15%, 19% dan 7% untuk mencerminkan terutamanya kadar prestasi susut nilai dan pelunasan terkini,” katanya dalam nota hari ini.
Mengulas mengenai prestasi suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), firma penyelidikan itu berkata ia berada di bawah jangkaannya dan konsensus disebabkan peningkatan susut nilai dan pelunasan.
Untung bersih 1QFY23 sebanyak RM321 juta itu merangkumi anggaran tahun penuh firma dan konsensus masing-masing sebanyak 21% dan 19%.
“Susut nilai dan pelunasan dalam 1QFY23 sebanyak RM916 juta termasuk susut nilai dipercepatkan berjumlah RM258 juta, yang menurut pengurusan akan berulang sepanjang FY23,” tambahnya.
Menurut firma itu, tesis pelaburan ini amat bergantung kepada sinergi penggabungan, di mana nilai semasa bersihnya adalah RM8 bilion sepanjang lima tahun, tetapi ia adalah caj belakang disebabkan kos penyepaduan awal.
Firma itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) RM4.60 sesaham.
Bagi ruang telekomunikasi, Maybank IB berkata ia lebih suka Telekom Malaysia Berhad dengan saranan ‘beli’ TP RM7.80 sesaham.
Saham CelcomDigi dibuka pada RM4.40 pagi ini dengan modal pasaran berjumlah RM51.6 bilion. -DagangNews.com

