Unjuran untung bersih MPI bagi FY23-24 dikurangkan sebanyak 76-38% akibat permintaan semakin perlahan, kata Kenanga Research

Business & Finance
22 May 2023 • 10:48 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Unjuran untung bersih MPI bagi FY23-24 dikurangkan sebanyak 76-38% akibat permintaan semakin perlahan, kata Kenanga Research

diyana

22/05/2023 - 10:48

KUALA LUMPUR 22 Mei - Kenanga Research telah mengurangkan unjuran keuntungan bersih Malaysian Pacific Industries Bhd (MPI) bagi tahun kewangan 2023 hingga 2024 (FY23-24) sebanyak 76 hingga 38%.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘underperform’ dengan menurunkan harga sasaran (TP) sebanyak 24% kepada RM15.26 sesaham daripada RM20 sebelumnya.

Firma itu berhati-hati terhadap prospek MPI selepas taklimat keputusan suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) yang dijangka mencatat kerugian pada suku keempat berakhir 30 Jun 2023 (4QFY23) walaupun kerugiannya telah menguncup.

Mengulas lanjut, loji Suzhou kumpulan itu berprestasi rendah justeru MPI menekankan cabaran berterusan dalam persekitaran operasinya.

“Sementara itu, kilang di Ipoh, yang masih mengekalkan kestabilan kadar penggunaan, mengalami sedikit penurunan pendapatan disebabkan campuran produk yang berbeza, seperti kelembapan permintaan untuk pakej tenaga daripada pusat data, serta permintaan pelanggan untuk mengurangkan kos pakej matang,” katanya dalam nota hari ini.

MPI juga telah menangguhkan kilang baharunya di China, buat kali kedua, kepada Januari 2025 dengan denda AS$900,000 untuk mengurangkan peningkatan perbelanjaan susut nilai.

“Penangguhan itu mencerminkan keraguan pelanggan untuk meningkatkan jumlah pesanan disebabkan kebimbangan mengenai ketidaktentuan makroekonomi yang berlaku,” tambahnya.

Di samping itu, MPI akan sangat berhati-hati dengan perbelanjaan modal (capex), di mana ia sedang berbincang dengan beberapa pelanggan berpotensi untuk meningkatkan kapasiti di kemudahannya yang baru siap di M-site Ipoh tetapi masih belum mendapatkan sebarang pelanggan.

Sementara itu, ia sedang menambah tingkat baharu di S-site Ipoh untuk memenuhi keperluan perniagaan silikon karbida (SiC).

Kenanga Research berkata ia terus menyukai MPI kerana kehadirannya yang semakin meningkat dalam segmen automotif, kelebihannya sebagai penggerak pertama dalam teknologi baharu berkaitan silikon karbida dan galium nitrida, dan kepakaran unggulnya dalam pembungkusan cip pengurusan tenaga untuk pusat data.

Bagaimanapun, firma itu berkata prospek MPI dalam jangka sederhana akan terjejas oleh permintaan elektronik dan pusat data yang semakin perlahan, mengakibatkan penggunaan loji tidak optimum. -DagangNews.com