Unjuran untung bersih Kerjaya Prospek bagi FY23-24 sebanyak 1%, 6% berikutan kontrak tahunan dijangka bernilai RM1.7 bilion – Kenanga Research

Business & Finance
7 Nov 2023 • 10:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Unjuran untung bersih Kerjaya Prospek bagi FY23-24 sebanyak 1%, 6% berikutan kontrak tahunan dijangka bernilai RM1.7 bilion – Kenanga Research

diyana

07/11/2023 - 10:37

KUALA LUMPUR 7 Nov - Unjuran keuntungan bersih Kerjaya Prospek Group Bhd bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23-24) masing-masing dinaikkan sebanyak 1% dan 6% berikutan kontrak diperoleh pada FY23 dijangka bernilai RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion sebelumnya, kata Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu kini mengandaikan kemenangan kerja sebanyak RM1.7 bilion pada FY23 berbanding RM1.5 bilion sebelum ini, manakala andaian bagi FY24 dikekalkan pada RM1.6 bilion.

Oleh itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan menaikkan harga sasaran (TP) sebanyak 7% kepada RM1.75 sesaham daripada RM1.64 sebelumnya.

Kerjaya Prospek dilaporkan telah menerima kontrak pembinaan bernilai RM104.7 juta daripada anak syarikat Eastern and Oriental Bhd (E&O) bagi pembinaan 69 unit rumah berkembar tiga tingkat dan teres tiga tingkat di Seksyen 2, Pulau Andaman, Pulau Pinang.

“Kami positif dengan kontrak terbaharu yang telah meningkatkan kemenangan kerjanya setakat tahun ini kepada RM1.6 bilion dan kini telah melebihi andaian kami RM1.5 bilion bagi setahun penuh dan melepasi sasaran RM1.2 bilion syarikat itu sendiri.

“Ia juga telah menaikkan buku pesanan tertunggaknya kepada RM4.8b. Kami menjangkakan margin keuntungan selepas cukai (PAT) kontrak ini ialah 10%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut Kenanga Research, pada masa ini, buku tender Kerjaya Prospek berjumlah kira-kira RM1.5 bilion hingga RM2 bilion yang terdiri daripada kerja pembangunan daripada syarikat seinduknya iaitu, E&O dan Kerjaya Prospek Property Bhd (KPPROP), kilang industri multinasional (melalui usahasama dengan Samsung C&T) dan pekerjaan bangunan pihak ketiga di Lembah Klang.

Firma itu berkata TP dinaikkan selepas menilai perniagaan pembinaannya pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) 14 kali ke hadapan, pada diskaun kepada 18 kali yang dianggap kepada kontraktor besar (iaitu, Gamuda , IJM dan Sunway Constructions) memandangkan tumpuan Kerjaya Prospek terhadap sektor bangunan tinggi kini dibelenggu oleh lebihan bekalan dalam segmen pejabat dan kediaman.

“Kami terus menyukai Kerjaya Prospek kerana: (i) kaedah pembinaan acuannya yang inovatif dan justeru margin tinggi, (ii) pasukan pengurusannya sihat dan praktikal dengan rekod pelaksanaan kukuh, (iii) keterlihatan pendapatannya kukuh disokong oleh buku pesanan tertunggak yang besar dan tempahan berulang daripada syarikat berkaitan (E&O, KPPROP),” tambahnya.

Pada pukul 10:36 pagi ini, saham Kerjaya Prospek menokok 1 sen atau 0.7% kepada RM1.49 dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.89 bilion. - DagangNews.com