Untung bersih PPB merosot 2 kali ganda kepada RM372.6 juta dalam 3QFY23
diyana
29/11/2023 - 18:14
KUALA LUMPUR 29 Nov - PPB Group Berhad mencatat keuntungan bersih sebanyak RM372.6 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), merosot dua kali ganda atau 52.5% daripada RM784.8 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Pendapatannya turut merosot 11.6% kepada RM1.46 bilion dalam suku berakhir 30 September 2023 itu, berbanding RM1.6 bilion tahun lalu sementara pendapatan sesaham (EPS) kumpulan bernilai 26.19 sen, susut daripada 55.16 sen sebelumnya.
Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), keuntungan bersih PPB berkurang 46.5% kepada RM952.9 juta berbanding RM1.78 bilion bagi tempoh sama tahun lalu dan pendapatannya bernilai RM4.46 bilion, menyusut sedikit 1.8% daripada RM4.5 bilion sebelumnya.
“Keuntungan yang lebih rendah itu terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada Wilmar International Limited sebanyak 63% kepada RM268 juta pada 3QFY23 (3QFY22: RM721 juta) dan 57% kepada RM728 juta bagi 9MFY23 (9MFY22: RM1.71 bilion).
“Segmen perniagaan teras kumpulan, bagaimanapun, mencatatkan peningkatan ketara dalam keuntungan sebelum cukai sebanyak 250% kepada RM319 juta pada 9MFY23 (9MFY22: RM91 juta),” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Mengulas tentang prospek, PPB berkata pertumbuhan akan kekal berdaya tahan walaupun menghadapi masalah luaran berikutan permintaan domestik yang kukuh dengan jangkaan ekonomi Malaysia berkembang sekitar 4% pada 2023.
Meskipun ketegangan geopolitik global dan kelemahan ringgit boleh meningkatkan kos bahan mentan dan memberi tekanan pada margin, kumpulan itu optimis ia akan menunjukkan prestasi yang baik untuk sepanjang tahun ini.
Jelasnya, ini disokong prestasi segmen bijian dan perniagaan tani yang baik pada sembilan bulan pertama tahun ini, ditambah pula dengan pengalaman luasnya dalam perolehan bijirin dan formulasi produk.
“Berikutan peningkatan kos sara hidup di negara ini, segmen produk pengguna, yang memberi tumpuan kepada pembuatan dan pengedaran makanan stabil pengguna, akan terus memanfaatkan rangkaian pergudangan dan pengedaran bersepadu kami yang mantap di seluruh negara untuk pertumbuhan. Kami menjangkakan prestasi segmen untuk sepanjang tahun ini adalah memuaskan,” tambahnya.
Sementara itu, segmen pameran dan pengedaran filem mencatatkan prestasi yang lebih baik pada suku ketiga 2023 namun mogok pelakon dan penulis di Hollywood baru-baru ini telah menyebabkan penangguhan beberapa blokbuster utama yang akan menjejas kemasukan dan kutipan box office di suku terakhir.
“Pengurusan mengutamakan semula beberapa inisiatifnya dan mengoptimumkan kos untuk mengharungi cabaran yang dihadapi oleh industri pawagam,” katanya.
PPB berkata sementara segmen hartanah kumpulan sedang merancang pelancaran projek pembangunan baharu, pendapatan daripada jualan baki unit projek yang telah siap dijangka sederhana pada suku keempat 2023. - DagangNews.com

