Untung Ancom Nylex meningkat 15.2% kepada RM23.1 juta, permintaan racun rumpai di Brazil semakin kukuh

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 6:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung Ancom Nylex meningkat 15.2% kepada RM23.1 juta, permintaan racun rumpai di Brazil semakin kukuh Image from: Untung Ancom Nylex meningkat 15.2% kepada RM23.1 juta, permintaan racun rumpai di Brazil semakin kukuh sarah15/10/2026 - 18:01 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt - Ancom Nylex Berhad mencatatkan keuntungan bersih suku pertama tertinggi dalam sejarahnya sebanyak RM23.1 juta, meningkat 15.2% bagi tahun kewangan 2027 (FY2027), disokong prestasi kukuh segmen bahan kimia industri dan peningkatan permintaan racun rumpai MSMA di Brazil.

 

Bagi suku berakhir 31 Ogos 2026, hasil kumpulan meningkat 19.2% kepada RM533.4 juta berbanding RM447.4 juta setahun lalu, manakala keuntungan sebelum cukai melonjak 21.3% kepada RM35.2 juta daripada RM29 juta.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ancom Nylex, Datuk Lee Cheun Wei berkata, pencapaian keuntungan bersih suku pertama tertinggi itu menyediakan asas yang kukuh bagi FY2027, dengan permintaan produk bahan kimia pertanian terus berkembang di pasaran eksport utama.

 

"Jumlah jualan dalam segmen bahan kimia pertanian terus meningkat, mencerminkan permintaan berterusan di pasaran eksport utama kami. Bagaimanapun, pertumbuhan ini tidak dapat dilihat sepenuhnya dalam angka yang dilaporkan kerana pengukuhan ringgit berbanding dolar AS mengurangkan nilai jualan eksport kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Prestasi itu dipacu terutamanya segmen bahan kimia industri yang mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 32.8% kepada RM355.9 juta daripada RM268 juta, manakala keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) hampir berganda kepada RM19.4 juta berbanding RM10.2 juta, disokong margin lebih baik dan peningkatan kecekapan operasi pengedaran.

 

Sementara itu, segmen bahan kimia pertanian mencatatkan hasil RM136 juta dan EBIT RM24.2 juta, hampir menyamai RM137.2 juta dan RM24.9 juta pada tempoh sama tahun lalu, apabila pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) mengurangkan nilai jualan eksport meskipun jumlah jualan meningkat.

 

Mengulas pasaran Brazil, beliau berkata, sambutan terhadap MSMA bagi tanaman kacang soya semakin menggalakkan selepas kelulusan penggunaannya diperluas kepada tanaman berkenaan, dengan tempahan terus meningkat menjelang musim penanaman. 

 

"Kami menjangkakan pasaran baharu ini memberikan sumbangan yang semakin besar dari semasa ke semasa. Kami juga mempunyai kapasiti pengeluaran tambahan yang membolehkan kami meningkatkan bekalan dengan pantas mengikut perkembangan permintaan," katanya.

 

Cheun Wei menjelaskan kumpulan itu kekal berhati-hati terhadap risiko geopolitik dan perkapalan, termasuk gangguan di Selat Hormuz yang meningkatkan harga tenaga, meskipun bekalan semakin pulih. Ancom Nylex akan terus memantau perkembangan itu sambil meneroka peluang pertumbuhan bagi baki FY2027.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved