sarah07/10/2026 - 14:53 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt — Kutipan hasil cukai meningkat 9% kepada RM129.6 bilion bagi tempoh sehingga Jun 2026 berbanding RM119.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, kata Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.
Beliau berkata peningkatan itu selaras dengan pertumbuhan ekonomi, dengan kutipan lebih tinggi disumbangkan antaranya oleh cukai pendapatan syarikat serta cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST).
"SST mencatatkan kutipan lebih tinggi daripada sektor makanan dan minuman, perkhidmatan, insurans serta logistik," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Parlimen.
Menurut Chin Tong, pelaksanaan sistem e-Invois turut membantu mencegah ketirisan hasil dan seterusnya meningkatkan kutipan negara.
Beliau berkata e-Invois dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan nilai jualan tahunan syarikat bagi memberi tempoh persediaan mencukupi kepada pembayar cukai serta memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Fasa pertama e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, melibatkan 5,578 pembayar cukai dengan jualan tahunan melebihi RM100 juta.
Pelaksanaan itu kemudian diperluaskan kepada syarikat dengan jualan tahunan melebihi RM25 juta hingga RM100 juta melibatkan 14,567 pembayar cukai; lebih RM5 juta hingga RM25 juta (51,710 pembayar cukai); dan RM3 juta hingga RM5 juta (25,503 pembayar cukai).
Bagi pembayar cukai dengan jualan tahunan kurang RM3 juta, kerajaan memberikan pengecualian daripada pelaksanaan e-Invois, yang memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 1.1 juta peniaga, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Bagaimanapun, seramai 164,435 pembayar cukai dalam kategori tersebut telah memilih untuk melaksanakan e-Invois secara sukarela.
Chin Tong berkata, kerajaan kekal komited mencapai sasaran kutipan hasil cukai sebanyak RM343.1 bilion bagi keseluruhan 2026.
"Pertumbuhan ekonomi makro yang stabil dijangka terus memberi kesan positif kepada peningkatan kutipan cukai," katanya.
Beliau berkata reformasi percukaian yang disasarkan turut memainkan peranan dalam memastikan mekanisme kutipan hasil lebih berkesan, selain menjadi asas kepada keyakinan pelabur, kestabilan ekonomi dan daya saing negara. - DagangNews.com





