liza31/12/2025 - 14:25 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Dis – Batu Kawan Berhad (BKB) mencatat keuntungan bersih sebanyak RM1.05 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, meningkat 38% berbanding RM758 juta pada tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Batu Kawan berkata peningkatan ini disokong oleh pendapatan kumpulan yang meningkat kepada RM25.72 bilion pada FY2025 berbanding RM23.06 bilion pada FY2024.
“Keuntungan kasar pula meningkat kepada RM4.03 bilion daripada RM3.25 bilion.
“Keuntungan operasi bagi kumpulan meningkat kepada RM2.22 bilion, berbanding RM1.83 bilion pada tahun sebelumnya.
“Walaupun kos kewangan turut meningkat kepada RM509 juta, syarikat berjaya mengekalkan prestasi positif dengan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM1.61 bilion,” kata Batu Kawan dalam makluman tersebut.
Bagi pemegang saham, keuntungan yang boleh diagihkan kepada mereka meningkat kepada RM468 juta berbanding RM299 juta pada FY2024, manakala bahagian keuntungan yang diperuntukkan kepada kepentingan bukan kawalan berjumlah RM578 juta.
Pendapatan sesaham asas dan dicairkan meningkat kepada 120 sen berbanding 76 sen pada tahun sebelumnya.
Dari segi kedudukan aset, Batu Kawan mempunyai jumlah aset berjumlah RM33.12 bilion, meningkat daripada RM32.04 bilion pada tahun sebelumnya, didorong oleh aset bukan semasa seperti harta, loji dan peralatan bernilai RM13.21 bilion serta pelaburan dalam subsidiari, sekutu dan usaha sama.
Jumlah ekuiti kumpulan meningkat kepada RM16.24 bilion, disokong oleh pemulihan nilai wajar instrumen ekuiti dan kenaikan keuntungan ditahan.
Sementara itu, jumlah liabiliti berjumlah RM16.88 bilion, termasuk pinjaman jangka panjang sebanyak RM6.95 bilion dan pinjaman semasa RM5.25 bilion.
Batu Kawan juga mencatatkan pendapatan komprehensif keseluruhan sebanyak RM1.09 bilion, selepas mengambil kira kerugian pertukaran mata wang asing dan perubahan nilai wajar instrumen kewangan.
Pendapatan komprehensif yang positif ini menandakan pemulihan berterusan dalam operasi kumpulan dan pengurusan risiko kewangan.
Dengan prestasi kewangan yang kukuh, Batu Kawan kekal optimis untuk meneruskan pertumbuhan dalam segmen perindustrian dan pembinaan, sambil mengekalkan fokus terhadap pengurusan kos, pengembangan aset strategik serta pengukuhan kedudukan kewangan bagi menghadapi cabaran ekonomi global pada 2026. - DagangNews.com

