
KUALA LUMPUR 19 Dis – ICT Zone Asia Berhad mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM4.11 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Oktober 2025, disokong terutamanya oleh sumbangan daripada segmen pembiayaan teknologi serta perdagangan perkakasan dan perisian ICT.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM41.23 juta pada suku tersebut dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM4.86 juta.
“Margin keuntungan selepas cukai dicatat pada 9.97%, manakala margin EBITDA meningkat kepada 56.53%.
“Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Oktober 2025, ICT Zone Asia merekodkan hasil RM134.12 juta, meningkat hasil sumbangan berterusan daripada segmen pembiayaan teknologi dan perdagangan ICT.
“Keuntungan selepas cukai bagi tempoh tersebut berjumlah RM11.14 juta, manakala keuntungan sebelum cukai mencecah RM14.37 juta,” katanya dalam makluman tersebut.
PAT terlaras bagi tempoh sembilan bulan adalah RM12.18 juta selepas mengecualikan perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja berjumlah RM1.04 juta.
Dari segi prestasi segmen, pembiayaan teknologi kekal sebagai penyumbang utama hasil dengan RM24.07 juta pada suku semasa dan RM68.29 juta bagi tempoh sembilan bulan.
Perdagangan perkakasan dan perisian ICT menyumbang RM15.73 juta pada suku ketiga dan RM60.97 juta secara kumulatif, manakala segmen penyelesaian awan dan perkhidmatan mencatat hasil RM1.41 juta bagi suku semasa dan RM4.78 juta bagi tempoh sembilan bulan.
Berbanding suku sebelumnya, hasil kumpulan menurun 19.6% terutamanya disebabkan penurunan hasil daripada segmen perdagangan perkakasan dan perisian ICT berikutan pesanan pembelian yang lebih rendah.
Namun, keuntungan selepas cukai meningkat hampir 14% kepada RM4.11 juta, disokong oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah hasil lebihan peruntukan cukai pada tahun sebelumnya serta ketiadaan kos penyenaraian dalam suku semasa.
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan meningkat kepada RM267.05 juta setakat 31 Oktober 2025 berbanding RM236.55 juta pada 31 Januari 2025.
Ekuiti pemegang saham turut meningkat kepada RM105.55 juta, manakala aset bersih sesaham bertambah kepada 13 sen daripada 11 sen sebelum ini.
ICT Zone Asia turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 15 sen sesaham berjumlah RM1.19 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026, yang telah dibayar pada 3 November 2025.
Mengulas prospek, kumpulan kekal berhati-hati tetapi optimistik terhadap prestasi masa depan, disokong oleh permintaan berterusan bagi model perolehan ICT berasaskan langganan dalam sektor awam dan swasta.
Kumpulan yakin peralihan daripada perbelanjaan modal kepada model perbelanjaan operasi jangka panjang akan terus menyokong pertumbuhan segmen pembiayaan teknologi dan penyelesaian awan.
Setakat 31 Oktober 2025, ICT Zone Asia mempunyai buku pesanan belum dibilkan berjumlah RM267.16 juta, dengan sebahagian besar dijangka direalisasikan dalam tahun kewangan 2026 hingga 2028.
Kumpulan juga menjangkakan peluang baharu daripada inisiatif pendigitalan nasional, penggunaan kecerdasan buatan serta permintaan bagi peranti ICT berkeupayaan AI selari dengan penamatan sokongan Windows 10 pada 2025. - DagangNews.com
