Untung bersih Bursa Malaysia pada 1QFY25 susut kepada RM68.4 juta disebabkan kos operasi tinggi

28/04/2025 - 14:40
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 28 April - Untung bersih Bursa Malaysia Berhad pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) susut 8.8% kepada RM68.4 juta berbanding RM75 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu disebabkan kos operasi lebih tinggi dan dagangan lebih rendah.
Penyusutan untung bersih itu juga disebabkan penurunan 1.7% dalam hasil operasi kepada RM177.7 juta pada 1QFY25 daripada RM180.7 juta pada 1QFY24.
Pada masa yang sama, jumlah perbelanjaan operasi meningkat 6.7% kepada RM92.9 juta pada 1FY25 berbanding RM87.1 juta pada 1QFY24 disebabkan perbelanjaan teknologi dan kos langganan yang lebih tinggi berikutan pelancaran platform Centralized Sustainability Intelligence (CSI) pada Jun 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad'l Mohamed berkata, suku pertama 2025 terbukti sebagai tempoh yang mencabar bagi pasaran global, dibebani faktor luaran yang mempengaruhi prestasi pasaran ekuiti.
Katanya, walaupun menghadapi cabaran, pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan, disokong asas ekonomi kukuh dan hala tuju dasar kerajaan yang jelas, disokong oleh peta hala tuju negara yang digariskan dalam bidang pertumbuhan utama.
"Di Bursa Malaysia, kami digalakkan oleh momentum IPO yang kukuh, dengan 16 penyenaraian direkodkan setakat ini, memastikan Bursa berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran tahun penuhnya sebanyak 60 IPO," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi suku semasa dalam tinjauan, hasil operasi yang lebih rendah dalam Pasaran Sekuriti disebabkan penurunan dalam hasil dagangan, dengan purata nilai dagangan harian (ADV) untuk Dagangan Dalam Pasaran (OMT) dan Dagangan Perniagaan Langsung (DBT) merosot sebanyak 11.9% kepada RM2.8 bilion pada 1QFY25 berbanding RM3.2 bilion pada 1QFY24.
Dagangan pada 1QFY25 susut 6 mata peratusan kepada 33% berbanding 39% pada 1QFY24.
Bagi Pasaran Derivatif, hasil dagangan menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 13.7% kepada RM28.9 juta pada 1QFY25 berbanding RM25.4 juta pada 1QFY24 didorong Purata Kontrak Harian (ADC) yang lebih tinggi yang didagangkan untuk Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO).
Hasil daripada yuran persidangan dan pendapatan berkaitan pameran juga meningkat 12.1% kepada RM7.1 juta pada 1S2025 daripada RM6.4 juta pada 1Q2024, disokong oleh bilangan yang lebih tinggi peserta di Persidangan & Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC).
Bagi Pasaran Islam, hasil operasi mencatatkan peningkatan 23% kepada RM5.5 juta pada 1QFY25 berbanding RM4.5 juta pada 1QFY24 didorong hasil dagangan Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) yang lebih tinggi sebanyak RM4.9 juta pada 1QFY25 berbanding RM4.3 juta pada 1QFY24.
Hasil daripada Bursa Gold Dinar juga meningkat kepada RM600,000 berbanding RM200,000 pada 1QFY24.
Sementara itu, segmen Perniagaan Data mengekalkan momentum pertumbuhannya, dengan hasil operasi meningkat 2.1% kepada RM19.4 juta pada 1QFY25 daripada RM19 juta pada 1QFY24.
Mengulas mengenai prospek, Fad'l berkata, walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran global, termasuk ketegangan geopolitik, perdagangan AS dan keputusan dasar monetari, dan turun naik harga komoditi terus membentuk sentimen pelabur, Bursa Malaysia kekal fokus pada pengukuhan daya tahan pasaran melalui usaha jangkauan berterusan dan penawaran produk yang dipertingkatkan, untuk meluaskan penyertaan pelabur.
"Kami menjangkakan inisiatif ini akan membantu mengatasi masalah luar dan mengekalkan aktiviti perdagangan yang sihat di seluruh pasaran," katanya.- DagangNews.com
standard
