Untung bersih BWYS melonjak 9 kali ganda kepada RM24.6 juta dipacu keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan aset

Business & Finance
22 May 2026 • 6:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih BWYS melonjak 9 kali ganda kepada RM24.6 juta dipacu keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan aset Image from: Untung bersih BWYS melonjak 9 kali ganda kepada RM24.6 juta dipacu keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan aset liza22/05/2026 - 18:03 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Mei – BWYS Group Berhad mencatatkan peningkatan ketara dalam keuntungan bersih bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY2026) apabila keuntungan melonjak hampir sembilan kali ganda kepada RM24.6 juta berbanding RM2.6 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, peningkatan tersebut banyak disokong oleh keuntungan bukan operasi, khususnya daripada pelupusan aset dipegang untuk dijual yang menyumbang sebanyak RM38.4 juta kepada pendapatan kumpulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata, hasil kumpulan meningkat 10.1% kepada RM63.1 juta berbanding RM57.3 juta pada tempoh sama sebelumnya dipacu oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen pembuatan produk kepingan logam serta perdagangan keluli dan produk berkaitan.

 

“Namun, prestasi tersebut sedikit diimbangi oleh kelemahan dalam segmen perancah yang mencatatkan sumbangan lebih rendah berbanding tempoh sebelumnya.

 

“Dalam masa sama, margin untung kasar kumpulan turut menyusut kepada 15.9% daripada 21.7%, mencerminkan perubahan campuran produk serta tekanan dalam struktur kos operasi,” katanya dalam makluman itu.

 

Kumpulan turut mencatat beberapa pelarasan sepanjang suku tersebut, termasuk elaun kerugian rosot nilai inventori sebanyak RM6.3 juta serta hapus kira hutang lapuk berjumlah RM1.3 juta.

 

Selain itu, BWYS juga menanggung kos bukan berulang sebanyak RM1.3 juta yang berkaitan fi ejen hartanah susulan pelupusan aset yang dilaksanakan dalam tempoh kajian.

 

Mengulas prospek industri, BWYS berkata sektor pembinaan di Malaysia kekal menyokong pertumbuhan syarikat, didorong oleh aktiviti berterusan dalam sektor infrastruktur, perindustrian, logistik serta pembangunan bangunan.

 

Syarikat itu menjangkakan permintaan terhadap produk seperti kepingan bumbung, kekuda, sistem rak industri serta perancah akan kekal stabil sejajar dengan aktiviti projek domestik yang berterusan.

 

Bagi memperkukuh kedudukan jangka panjang, BWYS merancang untuk memperluaskan rantaian nilai keluli melalui penyertaan dalam industri salutan warna yang menawarkan produk bernilai tambah lebih tinggi.

 

Sehubungan itu, kumpulan turut mengumumkan penstrukturan semula kerjasama usaha sama dengan Lionwise Holding Group Pte Ltd dan FXD Group Sdn Bhd melalui entiti BWYS Colour Sdn Bhd yang akan menjalankan proses pra pengecatan gegelung dan kepingan logam termasuk salutan basah dan cecair.

 

Usaha sama tersebut dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2026 dan menjadi sebahagian daripada strategi pengembangan kumpulan dalam segmen hiliran industri keluli.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan BWYS, Kang Beng Hai berkata usaha pengembangan ke dalam segmen bernilai tambah itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperkukuh kecekapan operasi syarikat.

 

“Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan kos, perancangan inventori dan kecekapan operasi bagi menghadapi turun naik harga bahan mentah serta keadaan pasaran yang kompetitif,” katanya.

 

BWYS kekal berhati-hati namun optimistik terhadap prestasi bagi tahun kewangan 2026, disokong oleh aktiviti projek domestik yang berterusan walaupun berdepan cabaran pasaran dan tekanan kos.- DagangNews.com

Terkini standard