Untung bersih ELK-Desa pada 1QFY26 turun kepada RM6.43 juta disebabkan kos kewangan tinggi

21/08/2025 - 15:55
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Untung bersih ELK-Desa Resources Berhad bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2025 (1QFY26) menurun kepada RM6.43 juta berbanding RM8.14 juta pada tahun sebelumnya disebabkan susut nilai dan kos kewangan yang lebih tinggi.
Hasil suku berkenaan bagaimanapun naik kepada RM49.24 juta berbanding RM45.88 juta pada 1QFY25.
Bagi segmen sewa beli, hasil suku tersebut meningkat 7% kepada RM32.87 juta, disokong pertumbuhan portfolio.
Peruntukan susut nilai meningkat sebanyak 35% kepada RM13.08 juta, manakala caj kerugian kredit meningkat daripada 1.43% kepada 1.77%, terutamanya disebabkan oleh kelewatan bayaran daripada penyewa dan kerugian lebih tinggi daripada jualan kenderaan yang ditarik balik.
"Nisbah pinjaman terjejas bersih meningkat kepada 0.85% setakat 30 Jun 2025, berbanding 0.6% setakat 31 Mac 2025. Keuntungan kasar bagi segmen ini menurun sebanyak 18% kepada RM8.2 juta," katanya dalam satu kenyataan.
Segmen perabot mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 8% kepada RM16.38 juta, disumbangkan jualan domestik yang lebih kukuh.
Margin keuntungan kasar (selepas ditolak kos penghantaran dan pengangkutan) susut daripada 31% kepada 27%, disebabkan kos penghantaran yang lebih tinggi ke Malaysia Timur dan peningkatan perbelanjaan operasi sejajar dengan jumlah jualan.
"Akibatnya, keuntungan sebelum cukai bagi segmen ini menurun kepada RM380,000, berbanding RM970,000 setahun lalu," katanya.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan ELK-Desa Resources, Teoh Seng Hee berkata, bagi FY26, kumpulan kekal komited untuk mengembangkan portfolio sewa beli secara sederhana, sambil memberi perhatian rapi terhadap faktor-faktor yang boleh mempengaruhi tingkah laku pembayaran balik dan pemulihan aset.
“Antara faktor-faktor tersebut termasuklah kemungkinan peningkatan kos sara hidup akibat rasionalisasi subsidi dan peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
"Selain itu, pola permintaan pengguna yang berubah disebabkan kemasukan pengeluar kereta dari China juga berpotensi memberi kesan kepada nilai baki kereta terpakai," katanya.- DagangNews.com
standard
