Untung bersih Exsim Hospitality naik lebih 3 kali ganda kepada RM28 juta bagi 9MFY26

LocalBusiness & Finance
19 May 2026 • 6:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Exsim Hospitality naik lebih 3 kali ganda kepada RM28 juta bagi 9MFY26 Image from: Untung bersih Exsim Hospitality naik lebih 3 kali ganda kepada RM28 juta bagi 9MFY26 amree19/05/2026 - 18:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 MeiExsim Hospitality Berhad mencatat keuntungan bersih lebih tiga kali ganda bagi sembilan bulan FY26 didorong pertumbuhan kukuh segmen operasi perniagaan kumpulan.


Bagi tempoh tersebut yang berakhir 31 Mac 2026, keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan berkenaan meningkat kepada RM28.19 juta berbanding sebanyak RM6.97 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.


Hasil kumpulan tersebut juga menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, turut melonjak kira-kira 132.4% kepada sebanyak RM180.17 juta daripada hanya RM77.43 juta yang dicatatkan sebelumnya.


"Prestasi memberangsangkan itu dipacu pengembangan pesat segmen 'hospitality operator' dan 'fit-out' yang kini menjadi tunjang utama strategi pertumbuhan kumpulan ini," kata Exsim Hospitality.


Sementara itu jelasnya, bagi suku ketiga FY26 sahaja, syarikat berkenaan merekodkan hasil yang mencecah RM74.35 juta, meningkat kira-kira 33.4% berbanding RM55.72 juta pada suku sama tahun lalu.


Tambahnya, PAT bagi suku tersebut pula melonjak kepada sebanyak RM11.59 juta daripada cuma RM5.02 juta yang direkodkan sebelumnya, menerusi sumbangan lebih kukuh daripada dua segmen utamanya.


Pengarah Urusan Exsim Hospitality, Tan Hai Liang berkata, segmen 'hospitality operator' kini memainkan peranan semakin penting dalam campuran hasil kumpulan susulan pertambahan aset terurus.


"Setakat 31 Mac 2026, kami mendapati portfolio hartanah terurus kumpulan ini sudah mencecah 4,260 unit merangkumi 2,538 unit operasi dan 1,677 unit yang masih dalam pembinaan," jelas beliau.


Menurutnya, anak syarikat kumpulan berkenaan iaitu Exsim Concepto terus menjadi penyumbang utama prestasi selepas berjaya memperoleh sejumlah enam kontrak baharu sepanjang suku semasa tersebut.


Kontrak baharu itu menambah RM164.13 juta kepada buku tempahan yang kini bernilai RM258.71 juta, dan Exsim Hospitality mula melihat hasil positif daripada strategi ke sektor pembinaan lebih luas.


Pada masa sama, segmen 'Own and Operate' dijangka menjadi pemacu baharu apabila Corus Hotel Kuala Lumpur dan Tower E yang kini dalam proses pengubahsuaian dijangka dibuka semula pada separuh kedua.


"Pembukaan kembali dua aset berkenaan dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan secara lebih positif kepada kumpulan pada masa depan," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard