Sunway Construction catat untung bersih RM118 juta, raih kontrak baharu RM3.6 bilion dalam 3 bulan

LocalBusiness & Finance
18 May 2026 • 6:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sunway Construction catat untung bersih RM118 juta, raih kontrak baharu RM3.6 bilion dalam 3 bulan Image from: Sunway Construction catat untung bersih RM118 juta, raih kontrak baharu RM3.6 bilion dalam 3 bulan amree18/05/2026 - 18:41 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 MeiSunway Construction Group Berhad mencatatkan keuntungan bersih naik 56% kepada RM118.4 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, dipacu pertumbuhan kukuh semua segmen.


Kumpulan berkenaan turut mengumumkan pembayaran dividen keseluruhan sebanyak 22.8 sen sesaham merangkumi dividen interim pertama iaitu kira-kira 7.6 sen serta dividen khas 15.2 sen sesaham.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat tersebut berkata, keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat kira-kira 37% kepada RM154.7 juta dengan hasil mencecah sebanyak RM1 bilion.


"Segmen pembinaan masih kekal sebagai penyumbang utama apabila merekodkan hasil RM950.6 juta, manakala margin keuntungan sebelum cukai bertambah baik kepada 15.6%," kata Sunway Construction.


Prestasi lebih kukuh dicapai meskipun hasil segmen pembinaan lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu, disokong kemajuan projek Rapid Transit System (RTS) Link dan tender pusat data.


Pada masa sama, segmen pratuang kumpulan berkenaan mencatat pertumbuhan yang paling ketara apabila hasil melonjak kira-kira 136% kepada RM72.1 juta berbanding RM30.6 juta setahun lalu.


Keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen tersebut turut meningkat lima kali ganda kepada RM6 juta hasil sumbangan lebih tinggi daripada projek ICPH dan projek baharu yang mula dilaksanakan.


Pengarah Urusannya, Liew Kok Wing berkata, kumpulan itu berjaya memperoleh kontrak baharu bernilai RM3.59 bilion dalam suku pertama 2026, dan melepasi 50% sasaran penambahan buku tempahan tahunan.


“Buku tempahan semasa yang sihat bersama pengisian kontrak baharu yang kukuh memberi keyakinan terhadap trajektori pertumbuhan pendapatan Sunway Construction dalam jangka panjang,” katanya.


Beliau berkata, Malaysia kini semakin berkembang sebagai antara pasaran pusat data paling pesat di Asia Tenggara, sekali gus membuka peluang besar terutama dalam segmen fasiliti teknologi termaju.


"Sepanjang suku tersebut, Sunway Construction memperoleh sebanyak tiga lagi projek pusat data baharu selain menerima pelanggan berskala tinggi bertaraf antarabangsa yang baharu," jelasnya.


Setakat ini, kumpulan itu sudah berjaya menyiapkan lebih 180MW kapasiti pusat data dan sedang mengendalikan sejumlah 10 projek aktif yang melibatkan pelanggan teknologi global.


Menurut beliau, kumpulan berkenaan adalalah kekal optimis secara berhati-hati terhadap prestasi bagi baki tahun 2026, disokong buku pesanan semasa bernilai RM8.16 bilion.


Bagaimanapun, syarikat akan terus berwaspada terhadap ketidaktentuan geopolitik global termasuk tekanan kenaikan kos dan gangguan rantaian bekalan. - DagangNews.com

Terkini standard