Untung bersih FGV merosot lebih 7 kali ganda kepada RM31.98 juta dalam 3QFY23

Business & Finance
29 Nov 2023 • 3:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih FGV merosot lebih 7 kali ganda kepada RM31.98 juta dalam 3QFY23

diyana

29/11/2023 - 15:35

KUALA LUMPUR 29 Nov - Keuntungan bersih FGV Holdings Bhd merosot lebih tujuh kali ganda atau 86.8% kepada RM31.98 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) berbanding RM241.7 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan dalam suku semasa menyusut kepada 0.88 sen daripada 6.62 sen tahun lalu, sementara pendapatan kumpulan pada 3QFY23 merosot 20.6% kepada RM4.9 bilion berbanding RM6.18 bilion bagi 3QFY22.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV menjelaskan bahawa pendapatannya menurun pada suku dalam tinjauan berikutan harga purata minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah direalisasikan dalam suku semasa, manakala keuntungan bersihnya menurun disebabkan kemerosotan dalam keuntungan sektor perladangan.

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata keuntungan yang lebih rendah telah dikurangkan sebahagiannya oleh peningkatan yang dilaporkan dalam sektor logistik dan sektor lain, ditambah dengan kerugian lebih rendah dalam sektor gula.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), keuntungan bersih FGV menjunam lebih 31 kali ganda atau 96.8% kepada RM31.2 juta daripada RM984.9 juta dalam tempoh sama tahun lepas, manakala pendapatannya merosot 28% kepada RM14 bilion berbanding RM19.46 bilion sebelumnya.

Menurut FGV, keuntungan sektor perladangan terus mengalami penurunan margin dalam perniagaan hiliran dan bajanya, di samping kemerosotan bahagian keuntungan daripada usaha sama daripada RM45.18 juta kepada RM3 juta dalam 9MFY23.

“Selain itu, kerugian rosot nilai yang lebih tinggi bagi aset bukan kewangan berjumlah RM58.94 juta terutamanya disebabkan oleh kemerosotan nilai aset perladangan Indonesia berbanding RM13.87 juta dalam tempoh kewangan sebelumnya,” katanya.

Mengulas mengenai prospek, FGV berkata dalam landskap pasaran semasa, harga MSM telah menghadapi cabaran dengan penurunan disebabkan oleh stok minyak sayuran yang banyak di negara pengguna utama serta permintaan yang lemah.

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata prospek yang menjanjikan muncul untuk suku keempat, mengunjurkan harga MSM dalam julat antara RM3,800 dan RM4,000 setiap tan.

“Trajektori positif ini disokong oleh jangkaan kesan El Niño, permintaan yang meningkat di India didorong oleh aktiviti penyimpanan semula Diwali dan perkembangan industri biodiesel sawit, semuanya menyumbang kepada persekitaran harga yang diperkukuh.

“Walaupun kos pengeluaran dijangka kekal tinggi, potensi penyederhanaan dijangka disebabkan oleh harga baja dan tenaga yang lebih rendah,” katanya.

Sementara itu, sektor gula FGV terus menghadapi cabaran yang berpunca daripada kenaikan harga gula mentah global, peningkatan kos pengangkutan dan gas asli serta ringgit yang semakin lemah di tengah-tengah ketegangan geopolitik.

FGV berkata sektor logistiknya kekal teguh dalam komitmennya terhadap peningkatan prestasi melalui inisiatif strategik, termasuk pengembangan kapasiti, pengoptimuman aset dan penggunaan teknologi termaju. - DagangNews.com