Untung bersih Frontken susut kepada RM31.9 juta pada 2QFY23 kerana pendapatan operasi di Taiwan, Singapura rendah

Business & Finance
1 Aug 2023 • 3:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Frontken susut kepada RM31.9 juta pada 2QFY23 kerana pendapatan operasi di Taiwan, Singapura rendah

diyana

01/08/2023 - 15:33

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Frontken Corporation Bhd mencatat keuntungan bersih RM31.9 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), susut sedikit sebanyak 0.89% daripada RM32.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Sementara itu, pendapatan kumpulan dalam suku berakhir 30 Jun 2023 itu turut menurun sebanyak 5.5% kepada RM121 juta berbanding RM128 juta sebelumnya, manakala pendapatan sesaham (EPS) susut kepada 2.03 sen daripada 2.05 sen sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Frontken berkata pendapatan daripada anak syarikatnya di Taiwan dan Singapura berkurang, sebahagiannya akibat permintaan yang lebih lemah daripada pelanggan semikonduktornya daripada suku pertama.

Bagaimanapun, Frontken berkata anak syarikatnya di Malaysia menunjukkan prestasi yang lebih baik berikutan peningkatan dalam industri minyak dan gas.

"Peningkatan dalam perniagaan tempatan sebahagian besarnya disebabkan oleh tempahan baharu untuk penyediaan bekalan tenaga manusia dan perkhidmatan peralatan berputar mekanikal daripada pelbagai kontrak kumpulan dengan Petronas," katanya.

Sementara itu, keuntungan bersih Frontken bagi separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) menyusut 5% kepada RM55.5 juta berbanding RM58.7 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2022 (1HFY22).

Pendapatannya pula telah merosot 5% kepada RM235 juta daripada RM247 juta sebelumnya.

Mengulas mengenai prospek, Frontken berkata ia yakin terhadap permintaan pasaran pada separuh kedua tahun ini lebih kukuh memandangkan jualan global bulan ke bulan meningkat pada Mei untuk bulan ketiga berturut-turut walaupun pasaran terus lembap berbanding 2022.

“Persatuan Industri Semikonduktor (SIA) mengumumkan bahawa jualan industri semikonduktor global pada bulan Mei 2023 berjumlah AS$40.7 bilion (RM183.6 bilion), meningkat 1.7% berbanding April 2023 tetapi 21.1% kurang daripada Mei 2022,” katanya, sambil menambah ia berharap lebih banyak aktiviti dalam kemudahan kedua baharunya di Taiwan.

Bagi industri minyak dan gas, Frontken optimistik dengan berhati-hati bahawa perniagaannya akan lebih kukuh berbanding tahun lepas berikutan peningkatan tempahan daripada pelbagai kontrak untuk penyediaan bekalan tenaga manusia, di samping kontraknya dengan Petronas bagi perkhidmatan peralatan berputar mekanikal dan alat ganti yang dimilikinya

“Kumpulan kekal berhemat mengenai keadaan perniagaan keseluruhan pada separuh kedua tahun ini walaupun terdapat tinjauan positif daripada SIA, dengan mengambil kira ketegangan geopolitik semasa, kadar faedah yang meningkat dan tekanan inflasi,” tambahnya.

Pada waktu penulisan, saham Frontken menokok 1 sen atau 0.3% kepada RM3.25, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM5.1 bilion. - DagangNews.com