Untung bersih HI Mobility pada 2QFY26 naik 10.1% kepada RM13.9 juta didorong peningkatan perkhidmatan bas berjadual

29/09/2025 - 18:09
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 29 Sept - Pengendali bas, HI Mobility Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 10.1% kepada RM13.9 juta bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2025 (2QFY26) didorong peningkatan perkhidmatan bas berjadual serta pertambahan jumlah penumpang dalam segmen rentas sempadan.
Bagi tempoh kumulatif enam bulan pertama, kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM153 juta dan untung bersih sebanyak RM26.5 juta.
Memandangkan HI Mobility baru sahaja disenaraikan di Pasaran Utama pada Mac 2025, tiada perbandingan tahun-ke-tahun (YoY) tersedia.
Kumpulan itu memiliki buku tempahan belum dibilkan untuk perkhidmatan kontrak kepada agensi kerajaan dan syarikat korporat berjumlah RM265.6 juta (setakat 31 Julai 2025). Aliran kerja yang stabil ini memberikan jaminan pendapatan kukuh untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif HI Mobility, Lim Chern Chuen berkata, prestasi itu mencerminkan kekuatan model perniagaan serta kedudukannya sebagai pengendali bas rentas sempadan terbesar di Malaysia.

Beliau berkata, pendapatan pada suku kedua itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh tiga suku sejak penyenaraian kumpulan dan pihaknya optimis terhadap prosek FY26.
“HI Mobility juga terus menerajui peralihan tenaga industri, sejajar dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030. Melalui pelaburan berterusan dalam infrastruktur EV, automasi armada digital dan operasi berasaskan IoT (internet kebendaan).
"Dengan kehadiran kukuh di Malaysia dan Singapura, kami memacu mobiliti pintar melalui pendigitalan, pembangunan infrastruktur dan inovasi hijau – termasuk inisiatif bas autonomi dan elektrik, seperti yang ditunjukkan oleh pertambahan armada bas EV kami kepada 63 unit daripada 53 unit pada suku sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 1.0 sen sesaham, berjumlah RM5 juta, yang akan dibayar pada 30 Oktober 2025, menjadikan jumlah dividen sesaham dan jumlah bayaran dividen bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 masing-masing sebanyak 2 sen dan RM10 juta. - DagangNews.com
standard
