Untung bersih Hup Seng susut kepada RM8.5 juta pada 2QFY25 disebabkan peningkatan kos bahan mentah

11/08/2025 - 17:37
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Untung bersih Hup Seng Industries Berhad susut kepada RM8.5 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) berbanding RM9.02 juta disebabkan peningkatan kos bahan mentah yang membayangi kesan positif daripada peningkatan jualan.
Hasil kumpulan itu pada suku berkenaan meningkat kepada RM84.8 juta berbanding RM80.2 juta pada 2QFY24.
"Jualan domestik meningkat sebanyak 9% atau RM5.5 juta berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, terutamanya daripada Malaysia Timur, pasaran borong, pasar raya dan pasar raya besar.
"Peningkatan ini telah bagaimanapun diimbangi penurunan 5% atau RM900,000 dalam pasaran eksport, terutamanya dari Indonesia dan Myanmar," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Untung bersih kumpulan itu pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25) juga menyusut kepada RM19.1 juta berbanding RM23 juta, bagaimanapun hasil bagi tempoh berkenaan naik kepada RM176.6 juta berbanding RM173.8 juta pada 1HFY24.
Katanya, jualan domestik meningkat sebanyak 5% atau RM6.8 juta, terutamanya daripada Malaysia Timur, pasaran borong, pasar raya dan pasar raya besar. Bagaimanapun, jualan eksport menurun sebanyak 11%, terutamanya disebabkan oleh penurunan sumbangan daripada Myanmar, Mauritius dan Indonesia.
Mengulas mengenai prospek, bagi separuh kedua 2025, kumpulan akan mengekalkan pendekatan berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.
Katanya, kos bahan mentah utama kekal sensitif terhadap perkembangan bekalan dan peraturan, dengan tekanan kenaikan harga yang dijangkakan.
"Bagaimanapun, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi bagi membantu mengurangkan kesan kenaikan kos, dan akan memantau keadaan pasaran dengan teliti untuk kekal berdaya saing serta mengekalkan prestasi yang stabil," katanya.- DagangNews.com
standard
