Untung bersih Johor Plantations Group pada 1HFY25 naik 51% kepada RM151 juta

14/08/2025 - 17:59
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Johor Plantations Group Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 51% kepada RM150.64 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25) dengan hasil kumpulan turut meningkat sebanyak 12.6% kepada RM738.72 juta.
Walaupun jumlah pengeluaran tahunan lebih rendah, prestasi kumpulan disokong harga jualan yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK), serta pembelian hasil luar (OCP) yang membantu mengekalkan kadar pemprosesan dan mengukuhkan keuntungan.
Berdasarkan prestasi yang kukuh itu, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.25 sen sesaham bagi suku ini, mencerminkan EPS sebanyak 3.01 sen, sekali gus memberi ganjaran kepada pemegang saham dengan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM31.25 juta.
Bagi 2QFY25, kumpulan itu mencatatkan pendapatan sebanyak RM398.29 juta, meningkat 10.4% berbanding RM360.91 juta dalam suku yang sama tahun lalu. Keuntungan bersihnya juga meningkat 50% kepada RM75.37 juta, berbanding RM50.26 juta pada 2QFY24.
Katanya, pendapatan MSM meningkat 4.8% pada 2QFY25 kepada RM323.39 juta dengan jumlah penghantaran meningkat 1.9% kepada 74,667 tan manakala pendapatan PK melonjak 46.1% kepada RM73.07 juta, disokong peningkatan 2.1% dalam jumlah penghantaran kepada 19,546 tan dan kumpulan itu mencatatkan peningkatan 11.9% dalam pembelian hasil luar, mencerminkan keberkesanan strateginya untuk meningkatkan OCP.

Mengulas mengenai prestasi itu, Pengarah Urusan Johor Plantations Group, Mohd Faris Adli Shukery berkata, berbesar hati untuk melaporkan satu lagi prestasi yang kukuh, hasil daripada usaha berdisiplin di segmen huluan dan kemajuan berterusan dalam memperluas sumber pembelian hasil luar.
"Pada masa yang sama, kami terus meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan inventori, dan mengurus kos secara proaktif — semuanya dipandu komitmen teguh kami terhadap kelestarian, yang kekal sebagai teras kepada penciptaan nilai jangka panjang.
"Walaupun kekal berhati-hati terhadap potensi ketidakseimbangan permintaan-penawaran dalam pasaran MSM, kami yakin terhadap keupayaan kumpulan untuk mengharungi keadaan ini.
"Fokus kami kekal pada mengoptimumkan penjanaan harga, mengekalkan pertumbuhan pengeluaran, mengawal kos secara berhemah, meningkatkan jumlah pemprosesan, serta memperluas segmen hiliran," katanya dalam satu kenyataan.
Menjelang separuh kedua tahun ini, Johor Plantations Group optimis terhadap pertumbuhan pengeluaran secara bermusim dan kekal berhemah dalam menghadapi dinamik pasaran.
Selain itu, kumpulan itu turut mengumumkan peralihan kepimpinan penting dengan persaraan Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Aziah Ahmad berkuat kuasa pada 1 September 2025.
Aziah merupakan ahli penting dalam Kulim (Malaysia) Berhad dan Johor Corporation (JCorp) sejak 2014, memegang pelbagai jawatan kepimpinan kewangan kanan. Beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh operasi kewangan Johor Plantations Group semasa tawaran awam permulaan (IP) kumpulan serta dalam pelancaran Sukuk Kelestarian pertama industri perladangan pada 2024.
Zain Azrai Zainal Abidin akan menggantikan beliau sebagai CFO bermula 1 September 2025. Beliau merupakan akauntan bertauliah dengan lebih 27 tahun pengalaman, termasuk lebih sedekad sebagai CFO di beberapa syarikat terkemuka.
Beliau membawa kepakaran luas dalam bidang kewangan, strategi, perbendaharaan, pengurusan pelaburan, libat urus pemegang kepentingan dan audit. Beliau menyertai syarikat ini pada Jun lalu sebagai Timbalan CFO dan telah bekerjasama rapat dengan Aziah bagi memastikan peralihan kepimpinan yang lancar.- DagangNews.com
featured standard

