Untung bersih I-Berhad pada 2QFY25 naik 2 kali ganda kepada RM11.45 juta didorong sumbangan kukuh semua segmen perniagaan

LocalBusiness & Finance
14 Aug 2025 • 3:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih I-Berhad pada 2QFY25 naik 2 kali ganda kepada RM11.45 juta didorong sumbangan kukuh semua segmen perniagaan

image is not available

14/08/2025 - 15:59

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Untung bersih pemaju hartanah, I-Berhad bagi suku tahun kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) meningkat lebih dua kali ganda kepada RM11.45 juta berbanding RM5.44 juta pada tahun sebelumnya didorong sumbangan kukuh daripada semua segmen perniagaan termasuk rekreasi dan hospitaliti, pembangunan serta pelaburan hartanah.

Hasil suku berkenaan juga naik 12% kepada RM62.3 juta berbanding RM55.53 juta pada 2QFY24.

Pemacu utama termasuk WynSnow di Wyndham Suites KLCC dan prestasi kukuh daripada hotel DoubleTree by Hilton i-City serta Wyndham Garden i-City, disokong pertambahan pengunjung semasa musim hari raya dan cuti sekolah.

Segmen pembangunan hartanah menjana pendapatan sebanyak RM26.64 juta pada 2QFY2025, meningkat 14.3% daripada RM23.31 juta setahun lalu. Segmen ini mencatatkan keuntungan RM5.66 juta, hampir 10 kali ganda berbanding RM621,000 yang direkodkan tahun sebelumnya.

Prestasi itu disumbangkan jualan yang stabil dan kemajuan pembinaan di BeCentral Residences Menara 1 & 2. Sehingga 30 Jun 2025, jualan belum dibil kumpulan adalah sebanyak RM90.36 juta.

Segmen pelaburan hartanah terus memberikan pulangan yang stabil, menyumbang RM6.45 juta dalam pendapatan dan RM4.79 juta dalam keuntungan. Prestasi itu disokong kadar penghunian yang tinggi dan pengoptimuman hasil di Mercu Maybank dan Central i-City Mall, selain peningkatan hasil tempat letak kereta dan strategi penyewa yang semakin berkembang.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY2025), keuntungan bersih I-Berhad melonjak lebih dua kali ganda kepada RM21.41 juta, berbanding RM9.52 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, selaras dengan peningkatan hasil sebanyak 29.32% kepada RM124.35 juta, daripada RM96.16 juta sebelum ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, keputusan terkini mencerminkan disiplin berterusan kumpulan dalam membina asas pendapatan berulang yang kukuh, sambil melaksanakan pelan jangka panjang untuk menjadikan i-City sebagai destinasi gaya hidup pintar terkemuka di Malaysia.

Beliau berkata, setiap segmen menyumbang seperti yang dirancang dan pendekatan seimbang ini memberi kami keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan dinamik pasaran yang sentiasa berubah.

Katanya, bagi mempercepatkan visinya menjadikan i-City sebagai hab untuk Kecerdasan Buatan (AI) dan robotik, kumpulan itu bekerjasama dengan Agibot, antara peneraju inovasi robotik di China, disokong syarikat gergasi seperti Tencent, LG, dan JD.com.

“Strategi AI dan robotik ini bukan sekadar menambah baik apa yang ada, tetapi untuk mencipta masa depan. Menerusi sistem AI berperwatakan dan kerjasama strategik, kumpulan ini sedang membuka laluan pertumbuhan baharu dan meletakkan diri di barisan hadapan dalam industri yang sedang dibentuk semula oleh automasi pintar,” katanya.

Kumpulan turut memaklumkan mereka telah memulakan program AI dan automasi pintar bernilai RM10 juta, yang kini sedang dilaksanakan di seluruh aset penjana pendapatan.

Inisiatif itu diintegrasikan melalui aplikasi iCity SuperApp milik syarikat dan disokong oleh kerjasama teknologi global. Ia akan membolehkan penyelenggaraan prediktif, pengoptimuman tenaga dan aliran pengunjung, serta meningkatkan pengalaman penyewa dan pelanggan. - DagangNews.com

standard