Untung bersih Keyfield pada 1QFY25 susut 31.7% kepada RM20.7 juta disebabkan kos penyelenggaraan tinggi

LocalBusiness & Finance
15 May 2025 • 5:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Keyfield pada 1QFY25 susut 31.7% kepada RM20.7 juta disebabkan kos penyelenggaraan tinggi

image is not available

15/05/2025 - 17:51

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mei - Untung bersih Keyfield International Bhd pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) susut 31.7% kepada RM20.7 juta berbanding RM30.3 juta bagi suku sama tahun sebelumnya kesan daripada kos penyelenggaran yang tinggi dan projek penyewaan yang tertangguh.

Kumpulan itu berkata, hasil suku berkenaan juga susut 18.5% kepada RM86.7 juta berbanding RM106.4 juta yang dicatatkan pada 1QFY24.

Secara tradisinya, suku pertama setiap tahun merupakan suku yang paling lemah disebabkan musim tengkujuh dengan kebanyakan aktiviti luar pesisir, terutamanya kerja-kerja penyelenggaraan, tidak dijalankan.

Selain itu katanya, suku pertama juga adalah tempoh yang agak perlahan di mana kadar penggunaan armada kumpulan hanya berada pada 44.1%, disebabkan penangguhan beberapa projek penyewaan bagi 2025 yang dimulakan lewat pada tahun tersebut kerana pelanggan melanjutkan sewaan bagi menyiapkan kerja-kerja luar pesisir sebelum akhir 2024.

"Empat kapal kami menjalani penyelenggaraan (dry-docking) berjadual lima tahun sekali untuk pemeriksaan khas, selaras dengan keperluan industri, manakala dua lagi kapal sedang dipersiapkan untuk operasi – ini bermakna hampir separuh daripada armada kami yang terdiri daripada 14 kapal tidak tersedia untuk disewa bagi suku pertama.

"Kelewatan daripada pembekal peralatan luar dan kerosakan peralatan limbungan kapal turut menyebabkan tempoh penyelenggaraan kapal kami menjadi lebih lama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keyfield berkata, lebih banyak kerja penyelenggaraan tahunan dijalankan pada suku pertama ke atas kapal-kapal kumpulan, di samping kos tidak sewa seperti kos kru, bahan api dan yuran tambatan turut menyumbang kepada peningkatan kos serta margin keuntungan kasar yang lebih rendah pada suku itu.

Sementara itu, pihaknya telah mengutamakan penggunaan kapal milik sendiri untuk disewa sepanjang tempoh ini yang menyebabkan hari penyewaan dan hasil daripada kapal pihak ketiga menjadi lebih rendah.

Keyfield juga telah mencapai kemajuan dalam beberapa bidang strategik bagi mengurangkan kebergantungan kepada industri minyak dan gas tempatan termasuk memterai penyewaan selama dua tahun bagi kapal AHTS dan memulakan penyewaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Mei 2025.

"Kami juga menyewakan Keyfield Lestari kepada pelanggan di India pada suku pertama, sebelum penghantaran kepada pembeli yang dijangka pada suku kedua dan memperoleh Keyfield Blessing, sebuah kapal pemasangan kabel dan menyewakannya untuk projek di Arab Saudi, kedua-duanya pada April 2025," katanya. - DagangNews.com

standard