Untung bersih KIP REIT bagi tahun kewangan 2023 susut kepada RM60.79 juta

Business & Finance
25 Jul 2023 • 8:37 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 susut kepada RM60.79 juta daripada RM75.51 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2022.

Hasil, bagaimanapun, meningkat kepada RM83.75 juta daripada RM73.70 juta sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Pendapatan yang lebih tinggi adalah disebabkan peningkatan dalam kadar penghunian untuk runcit. Di samping itu, terdapat pendapatan daripada pajakan selama 6.5 bulan tiga hartanah perindustrian yang baru diperoleh.

“Pendapatan hartanah bersih lebih tinggi seiring dengan hasil yang lebih tinggi pada varians positif yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya setakat ini disebabkan oleh perbelanjaan hartanah yang lebih tinggi secara keseluruhan seperti utiliti, kos pembayaran balik dan penyelenggaraan bangunan,“ katanya.

Keuntungan bersih bagi suku keempat berakhir 30 Jun menurun pada RM33.34 juta berbanding RM48.96 juta bagi suku yang sama tahun sebelumnya manakala hasil lebih tinggi untuk suku keempat pada RM22.39 juta berbanding RM19.22 juta terutamanya disebabkan oleh pengambilalihan ketiga-tiga hartanah perindustrian itu dan kadar penghunian yang lebih tinggi untuk runcit.

Syarikat itu berkata ia mempunyai prospek yang menggalakkan, dengan mengambil kira prestasi positif portfolio hartanah sedia ada KIP REIT dan usaha strategik mereka untuk meningkatkan secara aktif strategi pajakan dan operasi sambil mengejar peluang pelaburan berkualiti tinggi.

“Justeru, pengurus menjangkakan keupayaan untuk mengekalkan prestasi yang stabil sepanjang tahun fiskal 2024. Pengurus akan terus menguruskan portfolio sedia ada dan melaksanakan pengurusan modal yang berhemat bagi memberikan agihan mampan seunit kepada pemegang unit.

“Pengurus juga akan terus menilai peluang pertumbuhan dalam kelas aset sedia ada dan baharu bagi aset runcit dan perindustrian,“ katanya.-Bernama