Untung bersih Malpac Holdings susut kepada RM194,000 bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2023
azan
18/05/2023 - 16:03
KUALA LUMPUR 18 Mei - Untung bersih Malpac Holdings Berhad susut kepada RM194,000 pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 (3QFY23) berbanding RM384,000 pada suku sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil bagi suku berkenaan meningkat kepada RM973,000 berbanding RM254,000 pada tahun lalu.
"Keuntungan bagi suku semasa adalah disebabkan oleh pendapatan faedah yang lebih tinggi daripada simpanan tetap walaupun kerugian nilai saksama sebanyak RM260,000 ke atas saham tersiar harga dan unit amanah berbanding keuntungan nilai saksama sebanyak RM650,000 pada tahun sebelumnya yang sama," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, pihaknya akan terus mencari lebih banyak peluang perniagaan baharu bagi menormalisasikan kedudukan kewangan mereka.
Katanya, pada masa sama lembaga pengarah kumpulan sedang berusaha untuk membangunkan hartanah syarikat di Johor Bahru sebagai perniagaan teras baharu syarikat.
"Kami sedang bekerjasama dengan pihak arkitek untuk memuktamadkan kertas cadangan bagi pembangunan tersebut," katanya. - DagangNews.com

