Untung bersih MR DIY meningkat 11% kepada RM150 juta bagi 2QFY23, isytihar dividen 0.8 sen
diyana
09/08/2023 - 18:15
KUALA LUMPUR 9 Ogos - MR D.I.Y. Group Berhad (MR DIY) mencatatkan keuntungan bersih RM150 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), meningkat 11% daripada RM135 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, pendapatan kumpulan dalam suku kedua berakhir 30 Jun 2023 tersebut turut meningkat 4.9% kepada RM1.1 bilion berbanding RM1.05 bilion sebelumnya, didorong oleh sumbangan positif daripada kedai baharu.
Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan pula naik kepada 1.59 sen daripada 1.43 sen.
MR DIY mengisytiharkan dividen 0.8 sen bagi setiap saham biasa yang akan dibayar pada 22 September 2023.
Pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), keuntungan bersih MR DIY meningkat kepada RM278 juta, manakala pendapatannya berjumlah RM2.1 bilion.
Setakat 1HFY23, kedudukan tunai bersih kumpulan tersebut adalah sebanyak RM4.5 juta
Dalam satu kenyataan media hari ini, MR DIY berkata ia telah membuka 43 kedai baharu pada 2QFY23 merentasi empat jenamanya – MR DIY, MR TOY, MR DOLLAR dan EMTOP, menjadikan jumlah kiraan kedai kepada 1,168 pada 1HFY23, meningkat 17.6% berbanding tempoh yang sama pada tahun kewangan 2022 (FY22).
Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata pertumbuhan mantap kumpulan dalam 2QFY23 menandakan bahawa perniagaannya yang menitikberatkan nilai untuk wang adalah relevan dan bergema dengan pembeli yang mementingkan nilai hari ini.

“Ini menjadikannya penting untuk kami terus menembusi lebih luas dan lebih dalam ke kedua-dua pusat pasaran dan bandar yang lebih kecil bagi memenuhi keperluan pembeli, di mana rancangan pengembangan kami akan memenuhi keperluan mereka sambil memacu pertumbuhan kami.
“Kemajuan ketara dalam pemulihan margin keuntungan kami menunjukkan keyakinan terhadap kekuatan dan daya tahan perniagaan, justeru terus memberi galakan kepada kami walaupun menghadapi cabaran operasi semasa,” ujar beliau.
Beliau menambah bahawa kumpulan itu telah mencapai kemajuan yang baik dalam pertumbuhan kedai baharu, meletakkannya di landasan yang baik untuk melebihi sasaran membuka 180 kedai baharu tahun ini.
Saham MR DIY ditutup naik 4 sen atau 2.9% kepada RM1.43, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM13.5 bilion. - DagangNews.com
