Untung bersih Pentamaster melonjak 23% kepada RM23.7 juta bagi 2QFY23
diyana
10/08/2023 - 17:46
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Pentamaster Corporation Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM23.7 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), melonjak 23% daripada RM19.2 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pendapatan pada suku berakhir 30 Jun 2023 itu turut meningkat 16.9% kepada RM176.9 juta berbanding RM151 juta pada suku kedua tahun kewangan 2022 (2QFY22).
Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan pula bernilai 3.33 sen, melonjak 23% daripada 3.33 sen sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pentamaster melaporkan bahawa pertumbuhan tersebut disumbangkan terutamanya oleh segmen alat ujian automatik (ATE) dan rumusan automasi kilang (FAS), masing-masing membentuk kira-kira 83.9% dan 16.1% daripada jumlah pendapatannya.
Dalam 2QFY23, segmen ATE mencatat jumlah pendapatan RM148.6 juta, meningkat 34.8% tahun ke tahun (YoY), namun segmen FAS jatuh 30% (YoY) selepas pertumbuhan positif suku-suku sebelum ini dengan nilai RM30.2 juta.
Bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), keuntungan bersih kumpulan meningkat 13.5% kepada RM44.9 juta daripada RM39.6 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
Manakala pendapatannya naik 15% kepada RM342 juta berbanding RM297 juta sebelumnya.
Mengulas prospek kumpulan bagi separuh kedua tahun ini, Pentamaster berkata ia akan terus menunjukkan daya tahan dan ketangkasannya mengharungi cabaran makroekonomi global dengan memberi tumpuan kepada segmen perniagaan utamanya dan memanfaatkan kelebihan daya saing dan pengalamannya.
“Kumpulan kekal optimis mengekalkan momentum pertumbuhan perniagaan yang stabil pada separuh kedua 2023 dengan kekuatan buku pesanan yang menggalakkan. Kedua-dua segmen automotif dan perubatan terus memberikan prospek cerah dalam aliran pesanan kumpulan,”
Menurut kumpulan itu, pelan pengembangan kapasitinya berjalan mengikut jadual, di mana fasa satu kilang ketiganya dijangka siap menjelang akhir 2023, sementara fasa dua disasarkan siap pada separuh kedua 2024.
Saham Pentamaster ditutup tinggi hari ini pada RM5.53, menokok 13 sen atau 2.4% dengan permodalan pasarannya berjumlah RM3.9 bilion. - DagangNews.com

