
KUALA LUMPUR 11 Dis – Prospek Ranhill Utilities Bhd masih teguh selepas mencatatkan peningkatan yang kukuh pada suku pertama tahun kewangan 2026 (FY26), menurut BIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, ia susulan keuntungan bersih selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) yang meningkat 68% berbanding suku sebelumnya (QoQ) kepada RM29.9 juta.
Kenaikan ini tambahnya, disokong oleh prestasi cemerlang dalam operasi air minuman di Johor, selepas pelaksanaan tarif baharu di negeri berkenaan.
BIMB Securities berkata, walaupun tumpuan pasaran terarah kepada potensi permintaan daripada pusat data (DC), sumbangannya masih rendah dengan penggunaan sebenar sekitar 18 juta liter sehari (MLD).
“Penggunaan air DC di Johor masih jauh lebih rendah berbanding komitmen, iaitu kurang 5% daripada jumlah permintaan air. Ini terus mengehadkan lonjakan pendapatan meskipun DC menikmati kadar tarif tertinggi pada RM5.33 setiap meter padu,” katanya.
Satu lagi pemacu ketara kepada prestasi Ranhill ialah geran padanan Non-Revenue Water (NRW) yang telah diterima tiga kali di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Menurut BIMB Securities, kadar bayaran semula bergantung kepada tahap pengurangan NRW yang disahkan, dengan kadar antara 50% hingga 75%.
“Jumlah RM160 juta yang diiktiraf mencerminkan andaian kadar bayaran semula maksimum 75%. Sekiranya program geran ini diteruskan dalam RMK-13, ia mampu memberi lonjakan ketara kepada pendapatan Ranhill di luar pertumbuhan asas bersandarkan kenaikan tarif.”
Di Pulau Pinang, keputusan kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan tarif baharu sehingga Julai 2026 dijangka mengehadkan pertumbuhan keuntungan jangka terdekat PBA Holdings Bhd.
Suku ketiga berakhir 30 September menyaksikan PBA mencatat penyusutan hasil 6.7% q-o-q kepada RM137 juta, dipengaruhi kejatuhan ketara dana sumbangan modal oleh pemaju hartanah serta sedikit penurunan penggunaan air.
BIMB menambah, penangguhan tarif tersebut menolak ke hadapan pemulihan kewangan PBA sepanjang FY25 dan separuh pertama FY26.
“Namun penangguhan itu tidak mengubah hala tuju struktur jangka sederhana, memandangkan rasionalisasi tarif kekal sebagai keutamaan persekutuan dan bakal mengukuhkan kedudukan kewangan PBA sebaik dilaksanakan pada Julai 2026.” - DagangNews.com
