johardy27/11/2026 - 14:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Nov - Keuntungan bersih Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) meningkat 12% kepada RM129 juta pada suku ketiga FY2026, paras tertinggi bagi tempoh lima tahun, manakala kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 20.5 sen sesaham.
Hasil takaful bagi suku ketiga meningkat 28% kepada RM1.16 bilion daripada RM902.8 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, hasil takaful meningkat 14% kepada RM3.14 bilion daripada RM2.75 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum zakat dan cukai bagi tempoh itu meningkat 6% kepada RM497.8 juta, manakala keuntungan bersih naik 8% tahun ke tahun walaupun berdepan persekitaran operasi yang mencabar.
Pertumbuhan hasil disokong oleh peningkatan pelepasan keuntungan daripada caruman jangka pendek dalam perniagaan takaful am dan manfaat pekerja, serta kenaikan jumlah caj perlindungan takaful.
Selepas mengecualikan bahagian keuntungan peserta, keputusan perkhidmatan takaful kumpulan bagi tempoh sembilan bulan itu meningkat sebanyak RM192.6 juta, mencerminkan prestasi perniagaan jangka pendek yang lebih kukuh.
Dividen interim tertinggi dalam tempoh 10 tahun
Dividen interim sebanyak 20.5 sen sesaham itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun, mengatasi rekod 20 sen sesaham pada 2019. Dividen itu juga 11% lebih tinggi berbanding 18.5 sen sesaham yang diisytiharkan tahun lalu dan memberikan hasil dividen melebihi 6%.
Menurut kumpulan itu, pengisytiharan tersebut mencerminkan kedudukan kewangannya yang kukuh serta komitmennya untuk memberikan pulangan kepada pemegang saham.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata prestasi sembilan bulan itu mencerminkan kekuatan perniagaan teras kumpulan.
“Prestasi kewangan bagi tempoh sembilan bulan ini mencerminkan kekuatan perniagaan teras kami, pelaksanaan strategi yang berdisiplin serta tumpuan berterusan kami untuk memberikan nilai kepada pemegang saham.
"Pencapaian keuntungan suku tahunan tertinggi dalam tempoh lima tahun, di samping pertumbuhan hasil yang berterusan dan kedudukan modal yang kukuh, menunjukkan daya tahan perniagaan serta keupayaan kami mengekalkan prestasi dalam persekitaran operasi yang mencabar.”

“Keutamaan kami tetap jelas, iaitu memperkukuh daya saing, menjana pertumbuhan mampan dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk pemegang saham. Meskipun industri terus berdepan cabaran pasaran dan ketidaktentuan luaran, kami kekal yakin terhadap keupayaan kami untuk mengharungi perubahan landskap industri.
"Rekod dividen tertinggi sebanyak 20.5 sen sesaham ini mencerminkan komitmen kami untuk memberikan pulangan kepada pemegang saham, sambil mengekalkan keupayaan kewangan bagi menyokong peluang perniagaan pada masa hadapan,” katanya.
Hasil perniagaan takaful keluarga bagi tempoh sembilan bulan FY2026 meningkat 14% tahun ke tahun kepada RM1.85 bilion, disokong oleh pelepasan caruman yang lebih tinggi daripada perniagaan manfaat pekerja serta peningkatan jumlah caj perlindungan takaful.
Hasil perniagaan takaful am bagi tempoh yang sama meningkat 17% kepada RM1.23 bilion daripada RM1.05 bilion setahun sebelumnya, didorong terutamanya oleh caruman yang lebih tinggi daripada segmen motor dan kebakaran. Pada suku ketiga, hasil segmen ini meningkat 20% tahun ke tahun kepada RM424.9 juta.
Takaful keluarga runcit jadi tumpuan pertumbuhan
Menurut Takaful Malaysia, prestasi kedua-dua segmen itu mencerminkan kekuatan perniagaan sedia ada dan keseimbangan portfolionya dalam menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Portfolio kumpulan merangkumi bankatakaful, takaful keluarga runcit, manfaat pekerja dan takaful am, dengan gabungan perniagaan motor dan bukan motor yang seimbang. Kumpulan terus memperkukuh saluran pengedaran sedia ada dan memperluas saluran alternatif untuk menjangkau lebih ramai pelanggan serta memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu.
Perniagaan takaful keluarga runcit yang diperkenalkan pada 2022 menjadi tumpuan utama pertumbuhan kumpulan. Pasaran takaful individu di Malaysia menawarkan ruang untuk berkembang berikutan kadar penembusannya yang masih rendah. Perniagaan takaful keluarga berasaskan caruman berkala pula mencatatkan pertumbuhan melebihi 30%.
Takaful Malaysia turut memperluas pengedaran langsung kepada pengguna melalui Kaotim dan rangkaian cawangannya bagi memudahkan akses serta menyediakan lebih banyak pilihan perlindungan. Pengenalan MediAsas yang dirancang pada awal 2027 dijangka memperluas akses kepada perlindungan perubatan pada kos yang mampu ditanggung pengguna.
Dalam perniagaan takaful am, kumpulan akan terus memanfaatkan kekuatannya dalam segmen motor dan kebakaran untuk meningkatkan penembusan pasaran serta memanfaatkan peluang dalam segmen runcit dan komersial.
Kesemua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada strategi Takaful Malaysia untuk mempelbagaikan saluran pengedaran, memperkukuh hubungan dengan pelanggan dan membina sumber pertumbuhan jangka panjang.
Pengedaran langsung dan takaful am antara fokus
Nor Azman berkata kumpulan akan memanfaatkan kedudukannya dalam bankatakaful sambil mengembangkan perniagaan dalam segmen lain.
“Kedudukan pasaran kami yang kukuh menjadi asas bagi fasa pembangunan seterusnya. Kami memanfaatkan kekuatan sedia ada dalam bankatakaful sambil mempergiat usaha merebut peluang pertumbuhan dalam perniagaan runcit takaful keluarga, pengedaran langsung dan takaful am.
“Fokus kami bukan sekadar mengembangkan perniagaan, tetapi memastikan pertumbuhan itu mampan dan menguntungkan. Dengan memperluas keupayaan pengedaran, menjangkau lebih ramai pelanggan dan mengekalkan disiplin kewangan, kami berhasrat membina Takaful Malaysia yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing.
“Kami kekal yakin terhadap kekuatan asas Kumpulan dan keupayaan kami mengharungi perubahan pasaran sambil terus menjana nilai yang berkekalan untuk pemegang saham, pelanggan dan rakan niaga.” — DagangNews.com





