Untung bersih Tex Cycle lonjak lebih dua kali ganda kepada RM5.07 juta pada 2QFY23 didorong peningkatan jualan
diyana
15/08/2023 - 16:23
KUALA LUMPUR 15 Ogos - Tex Cycle Technology (M) Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM 5.07 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), meningkat 182% atau lebih dua kali ganda daripada RM1.8 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, didorong oleh peningkatan permintaan jualan.
Pendapatan kumpulan dalam suku berakhir 30 Jun 2023 itu turut meningkat 15.7% kepada RM8.4 juta berbanding RM7.3 juta sebelumnya.
Sementara itu, pendapatan sesaham (EPS) kumpulan pada suku tersebut meningkat kepada 2.10 sen daripada 0.83 sen.
Menurut Tex Cycle, peningkatan permintaan jualan telah mendorong pendapatan segmen kitar semula dan pemulihan serta segmen perdagangannya.
Dalam 2QFY23, pendapatan segmen kitar semula dan pemulihan meningkat 11%, manakala bagi segmen perdagangan, sumbangannya meningkat 70%.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), keuntungan Tex Cycle melonjak 140% kepada RM6.8 juta daripada RM2.8 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pendapatan 1HFY23 kumpulan pula meningkat 20% kepada RM17.6 juta berbanding RM14.6 juta sebelumnya.
Mengulas mengenai prospek, Tex Cycle berkata sentimen ekonomi semasa memberi lebih banyak tanda-tanda positif dalam pasaran, terutamanya dalam perniagaan pengurusan sisa berjadual berikutan lebih banyak penekanan telah diberikan oleh kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar, Sumber Asli dan Perubahan Iklim, dari segi menerajui dan mendesak pematuhan penjana sisa dan mempromosikan ruang tenaga boleh diperbaharui untuk mencapai sasaran sifar bersih 2050.
“Tex Cycle, yang sudah menjadi salah satu pemain utama kepada sektor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pastinya akan menyokong hala tuju tersebut dan berusaha ke arah agenda ini, terutamanya dengan dorongan daripada Bursa Malaysia dan institusi kewangan lain.
“Oleh itu, lembaga pengarah dan pengurusan berhasrat untuk memacu Tex Cycle menjadi pemain yang lebih kukuh dalam ruang pasaran ESG dengan terlibat dalam pengurusan sisa terjadual dan tenaga boleh diperbaharui, serta aktiviti berkaitan lain yang akan menjadi daya tarikan hebat dalam masa terdekat,” kata kumpulan itu.
Pada waktu penulisan, saham Tex Cycle didagang tidak berubah pada 75 sen, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM192 juta. - DagangNews.com

