Untung bersih TH Plantations naik kepada RM11.79 juta pada 2QFY25

LocalBusiness & Finance
25 Aug 2025 • 5:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih TH Plantations naik kepada RM11.79 juta pada 2QFY25

image is not available

25/08/2025 - 17:54

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - TH Plantations Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih kepada RM11.79 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) berbanding RM10.41 juta pada tahun sebelumnya didorong jumlah jualan lebih tinggi bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) serta harga lebih baik untuk buah tandan segar (BTS).

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan juga naik kepada RM220 juta berbanding RM198 juta pada 2QFY24.

Katanya, untung bersih pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25) naik sedikit kepada RM24.6 juta berbanding RM23.4 juta dipacu peningkatan hasil RM399 juta berbandiung RM355 juta.

"Momentum positif itu mencerminkan usaha berterusan bagi meningkatkan produktiviti dan mengurus kos dengan berkesan.

"Kumpulan kekal fokus untuk meningkatkan hasil dan kadar perahan minyak melalui kecekapan operasi yang dipertingkat, amalan agronomi yang baik, serta mempercepatkan program penanaman semula yang telah dirancang.

"Kumpulan juga sedang memajukan strategi jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh manual melalui peningkatan mekanisasi dan automasi, termasuk penggunaan dron di tapak semaian," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Mengulas mengenai prospek, TH Plantations berkata, mereka kekal optimis terhadap separuh kedua tahun ini.

Katanya, walaupun harga minyak sawit mungkin menghadapi tekanan akibat musim pengeluaran puncak yang dijangka dan kemungkinan peningkatan stok, pertumbuhan pengeluaran yang lebih perlahan di Malaysia serta permintaan biodiesel yang berterusan di pasaran utama seperti Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) dijangka dapat memberikan sedikit sokongan. - DagangNews.com

standard