Untung MSM menjunam 91% kepada RM3.73 juta pada suku pertama 2025

22/05/2025 - 16:18
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 22 Mei - Pengeluar gula terbesar negara, MSM Malaysia Holdings Bhd, menyaksikan keuntungan bersihnya merudum 91% kepada RM3.73 juta pada 1QFY2025, berbanding RM41.71 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Kejatuhan itu disumbangkan oleh margin lebih rendah dan penggunaan kapasiti yang berkurangan, walaupun kos pengeluaran menurun.
Keuntungan sesaham juga merosot kepada 53 sen berbanding 5.93 sen sebelum ini.
Pendapatan syarikat turut menyusut 17.3% kepada RM749.68 juta, berbanding RM906.61 juta tahun lalu, dipengaruhi oleh jumlah jualan dan harga purata jualan yang lebih rendah.
Kadar penggunaan kapasiti pengeluaran juga menurun kepada 47% berbanding 52% tahun lalu, berikutan penutupan sementara kilang.
Bagaimanapun, MSM berjaya mengekalkan tahap kecekapan operasi yang stabil.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, syarikat akan terus berbincang dengan kerajaan untuk menetapkan harga runcit gula yang lebih stabil dan mencadangkan kawalan lebih ketat terhadap gula import.
Katanya, langkah itu penting untuk menjaga bekalan makanan negara dan memastikan industri gula tempatan terus bertahan.
"Industri gula akan terus berdepan cabaran pada 2025 disebabkan kos bahan mentah yang tinggi dan harga gula mentah dunia yang tidak menentu.
"Kemasukan gula import tanpa kawalan telah menjejaskan harga dan jualan syarikat. Isu ini telah dibawa kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, MSM kini memberi tumpuan untuk meluaskan pasaran eksport ke China dan negara ASEAN seperti Vietnam, Indonesia, Singapura dan Filipina.
"Kami menyasarkan jumlah eksport keseluruhan meningkat kepada 360,000 tan pada 2025, terutama bagi produk bernilai tambah seperti gula cecair dan campuran khas dari kilang MSM Johor," kata Syed Feizal.
Menurutnya, langkah berkenaan akan membantu MSM mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tempatan yang tidak menentu dan mengukuhkan kedudukan eksport syarikat di rantau ini. - DagangNews.com
standard
